Saban tahun Markaz Darul Taqwa, Air Merah, Mersing menawarkan khidmat pengurusan korban. Tahun ini 19 ekor lembu dikorbankan selepas Solat Aidil Adha. Dalam tempoh 2 jam setengah, kesemua sembelihan telah siap diproses dengan sukses. Agihan dibuat selepas solat zuhur. Cuaca kelihatan amat bersahabat. Hujan renyai yang sedikit bertabur, turun sebagai penghibur.
Encik Amin, selaku Bendahari PAS Kawasan berasa cukup gembira dengan usaha yang dilakukan. Menurut beliau, masyarakat melihat usaha kerja kita. Apabila imej positif ditampilkan, rasa percaya dengan kemampuan PAS akan muncul. Ini bentuk kempen mudah menambat hati pengundi dalam pilihanraya nanti.
Apa yang menarik, Darul Taqwa diamanahkan oleh penduduk Kg Wak Salam untuk menguruskan haiwan korban mereka. Tahun lepas, agihan dengan logo kecil PAS menembusi kawasan UMNO tegar ini.
Diam-diam kepercayaan kepada PAS dalam aspek pengurusan haiwan korban meningkat. Barangkali ini yang menimbulkan rasa benci orang yang irihati. Kain rentang mewar-warkan aktiviti korban hanya bertahan 3 hari. Hilang entah ke mana pergi. Apa yang pasti ini bukan kerja orang Majlis Bandaran di sini.
Menurut Encik Idris, Setiausaha Penerangan PAS Kawasan yang semenjak awal pagi sibuk dengan kameranya, sektor yang agak bermasalah ialah bahagian melapah. Sektor pembungkusan cukup cekap dan boleh diharap.
Para petugas dan tetamu disantuni secukupnya. Sarapan telah bersedia di meja ketika mereka menjengah muka. Empat jenis air sentiasa menanti orang ramai yang datang bersilih-ganti. Juadah tengahari hadir tepat masa. Siap dengan sup tulang! Tahniah kepada Encik Latif yang mengetuai sektor penyediaan makanan dengan cemerlang.
Di tengah kesibukan orang, kehadiran si hidung belang tidak terpandang... Justeru sebahagian hati lembu ke 18 didapati hilang. Ini dikesan oleh Encik Hanafi ketika hendak mengagihkan bahagian kepada pemilik korban.
Menjelang asar, suasana menjadi sepi. Aktiviti korban yang turut disertai oleh Hj Sahar Abdulllah selaku bakal calon Parlimen Mersing PRU 13 nanti menamatkan catatan diari. Sebahagian besar mereka yang terlibat pulang dengan puashati....jauh di lapangan, para petugas agihan yang dimonopoli oleh muslimat sedang bergerak rumah-kerumah.
Menurut hemat penulis, dengan sedikit perbaikan dari sudut teknikal, sudah pasti kelompok pengurusan korban yang Ustaz Md Arif Abdul Kadir menjadi Pengarahnya mampu menguruskan lebih banyak haiwan korban pada tahun hadapan.
Cadangan penulis , diantaranya begini:
1. Para petugas diberi tag nama sebaik mendaftarkan nama.
2. Daging dipek dalam kotak plastik.
3. Agihan disertakan dengan risalah ringkas termasuk nombor telefon Pengarah Majlis Korban.
4. Awal-awal lagi telah dicari orang yang sanggup memproses perut dan kulit agar tidak terbuang.
5. Membeli mesin pemotongan daging dan tulang agar tampak lebih profesional dan tidak berlaku pembaziran cebisan daging dan tulang.
6. Muatkan iklan dalam akhbar seperti Harakah dan internet.
7. Buat kursus menyembelih dan melapah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Johor.
8. Rakaman menyeluruh dan siaran langsung acara.
Tahniah kepada semua petugas. Malam ini dengar khabar ada beriani kambing yang disediakan oleh Encik Latif pemilik Kopitiam Impian sempena doa kesyukuran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan