Salmah Mat Husain & Rizal Tahir
KOTA BHARU, 16 Nov: Pameran al-Quran terpanjang di dunia iaitu 281 meter yang ditulis dengan tangan di atas tembaga bersalut emas, bernilai RM300 juta akan menjadi tarikan sempena Ekspo Cheng Ho 2010.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, al-Quran berkenaan tidak pernah dipamerkan di mana-mana tempat sebelum ini.
“Ia satu penghargaan buat rakyat Kelantan apabila al-Quran berkenaan buat pertama kalinya akan dipamerkan di negeri ini,” katanya di sini.
Selain itu artifak lain dari China membabitkan barangan sejarah Cheng Ho akan dipamerkan sempena program berkenaan.
Pameran ekspo peringkat antarabangsa itu diadakan 21 hingga 26 November di Dataran Stadium Sultan Mohammed Ke-IV dan Kelantan Trade Centre.
Ekspo Cheng Ho yang julungkali diadakan menyediakan 150 ruang perniagaan.
Ia dijangka disertai 162 pedagang luar negara dan 100 usahawan tempatan.
Husam berkata, tetamu luar negara yang diundang khas antaranya Dr Amien Rais dari Indonesia, Setiausaha Agung Asean, Dr Surin.
Selain itu tetamu dari Brunei, Singapura, Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan negara Asia Tenggara lain.
”Persembahan akrobatik oleh peserta dari China yang akan meniti di atas tali sempena ekspo berkenaan juga dijangka bakal menarik perhatian ramai.
”Jaguh berkenaan Aidil pernah mencipta sejarah di peringkat antarabangsa pernah membuat 16 persembahan di pelbagai negara,” katanya.
Sementara itu bagi melancarkan perjalanan ekspo Cheng Ho lebih 1,000 sukarelawan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bangsa telah dilantik.
Sebelum ini mereka menjalani beberapa siri kursus yang dianjurkan Team Komuniti Ekspo Cheng Ho 2010 yang diadakan di Perdana Resort.
Kursus siri pertama disertai 390 sukarelawan. Seramai 200 sukarelawan berbangsa Cina juga mengikuti kursus. Mereka bakal menjadi ‘penghubung antara orang ramai dengan usahawan dari China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan