"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ESQ Boleh Diteruskan Tetapi Bersyarat - Mufti Selangor


SHAH ALAM, 16 NOV: Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, kursus anjuran ESQ Leadership Center boleh diteruskan di negeri ini tetapi dengan bersyarat.

Menurut Tamyes, mesyuarat Majlis Fatwa dan ESQ pada 21 September lalu  memutuskan bahawa ESQ boleh mengadakan kursus motivasi namun harus mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan pada mesyuarat berkenaan.

"ESQ ini boleh dijalankan dengan bersyarat. Maknanya ESQ cuba memperbaiki perkara-perkara yang ditegur, seperti buku ESQ lama yang diedar, mereka bersetuju untuk edit balik. Perbetulkan perkara-perkara yang meragukan dan dicetak semula.

"Saya difahamkan, ia sedang dalam proses untuk dicetak semula dan diedar semula dalam kursus akan datang," kata Tamyes ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut Tamyes, berlaku salah faham tentang laporan berita semalam apabila mengatakan Kerajaan Negeri Selangor membekukan kursus ESQ.

"Apa yang dibacakan oleh Yang Berhormat Halimah Ali semalam itu memang betul. Saya dengar. Boleh dijalankan tetapi bersyarat.

"Saranan untuk dibekukan itu datangnya dari salah seorang ADUN," tambah Tamyes lagi.

TV Selangor semalam melaporkan Dr Halimah sebagai berkata, kerajaan negeri telah membekukan penganjuran kursus motivasi ESQ di negeri ini ekoran keputusan Majlis Fatwa Negeri.

Isu ESQ menimbulkan kontroversi setelah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul latihan kursus motivasi anjuran syarikat itu pada 17 Jun lepas selepas mendakwa ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Setakat ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melarang penganjuran kursus motivasi kepimpinan ESQ.

Walau bagaimanapun, pada 14 Julai lalu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

"Setiap kali kursus ESQ diadakan di negeri ini, maka Jabatan Mufti akan menghantar pemantau daripada kalangan jawatankuasa fatwa ataupun pegawai-pegawai atau ahli jawatankuasa bahagian akidah," jelas Tamyes lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan: