"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Reaksi Terhadap Nik Aziz: Ia Adalah Cerminan Fikiran

Azizi Abdullah
Apabila saya menulis di dalam blog ini tentang ‘Pertemuan Blogger Dengan Kerajaan Kelantan’ pada 15hb Januari 2011, ia telah mendapat reaksi yang mencerminkan kematangan berfikir dan kecangkatan, kebebalan fikiran dan sikap.

Tidak matang berfikir, bebal dan tidak berilmu secara telah mencerminkan betapa sebahagian besar kita (tentu sekali Melayu/Islam) masih diserkupi dengan jumud, terperap pemikiran, beremosi ‘benci yang amat sangat’ menguasai kewarasan.

Tentulah sangat dukacita, dalam era gerbang maya ini masih ada orang-orang (Melayu/Islam) yang dikuasai kebebalan kerana malas membaca, malas berfikir dan minda tidak terbuka.

Puncanya satu. Apabila saya menjawab komentar Usin 12:45 am. Usin menampakan kematangan kerana beliau membuat komen terhadap Kerajaan Pas Kelantan, malangnya lain dari itu tulisan itu penuh dengan emosi dan pandang jahat.

Apabila saya menyebut Nik Aziz itu sebagai manusia ZUHUD, maka muncullah komentar ‘bebal’ yang menampakan sempitnya cara berfikir. Lantas tohmahan terhadap Nik Aziz ditulis secara melampau dengan kata-kata ‘Zuhud Kambing’ ‘Maki orang’ ‘Bapa sesat,’ dari Anonymous 11;50. Kemudian dikatanya lagi ‘Serban besar bakul tapi perut busuk macam najis, Anonymous 11;54. Kemudian Anonymous 9:45 am dari Jab Suka Pungkok mengeluarkan perkataan yang mencerminkan tidak matangnya kita berfikir.

Jika anda pernah membaca kritikan saya terhadap Pas, termasuk kepada Nik Aziz, anda akan berjumpa beberapa teguran, kritikan, hentam terhadap mereka. Saya tidak pernah memuja Nik Aziz dan Pas tidak semuanya betul. Jika anda membaca tulisan Dr.Kasim Ahmad berkenaan Najib, Kasim juga mengakui bahawa pada asasnya manusia tidaklah semuanya sempurna. Begitu juga dengan Nik Aziz.

Bagaimana dengan zuhud yang saya namakan kepadanya?

Ini adalah pandangan saya hasil dari penelitian gaya hidup, cara berfikir ketika beliau sedang berada di tengah gelombang politik, demokrasi dan material. Tapi rupanya mereka yang menyanggah dengan bebal dan emosi meluat tidak merujuk kepada pengertian zuhud.

Nik Azizlah yang menjadi sasaran komentar bebal dan tidak berilmu ini, bukan berhujah apakah sebenarnya ia zuhud atau materialistik.

Saya dukacita dan merasa terpanggil kepada mereka ini. Demi Allah, tidaklah bermaksud supaya mereka tunduk menjilat ludah Nik Aziz atau mencium tangannya. Tapi marilah kita menjadi orang yang berfikiran terbuka, matang melalui ilmu dan bukan beremosi bebal.

Saya juga tidak mahu mendesak supaya percaya kepada Nik Aziz, tapi tidak bolehkah kita bersikap terbuka, lega dan lapang berfikir di era dunia maklumat ini?

Kepada mereka ini saya syorkan mendapatkan buku KEPIMPINAN TOK GURU NIK AZIZ, Mengikut Pandangan Sarjana Kepimpinan Besar Sepanjang Zaman.

Membaca itu pintu pengetahuan alam.

Saudara! Jangan jijik, jangan bebal apabila mendengar nama Nik Aziz. Ajaklah hati dengan tenang, ajak fikiran secara terbuka, maka bacalah buku kecil setebal 76 muka, manakala bahan rujukan muka 77- 82, termasuk rujukan Yusuf Ali M.A. The Holly Qur`an.

Sdra, janganlah bebal. Mari tenangkan emosi!

Saya tidak minta anda percaya kepada buku ini, Tapi saya minta anda hormati bahan kajian sarjana, orang bijak pandai, rujukan hampir 100 buku.

Bukui ini ditulis oleh Sarjana Shaharir Mohamad Zain Mantan Prof. Matematik-Fizik Universiti Kebangsaan, Universiti Malaysia (UTM) dan Mantan Presiden Akademi Sains Islam Malaysia. Rujuk Biografinya untuk mengetahui kehebatan beliau.


Prof Shaharil Mohamad Zain

Prof Shahrir ini bukan ulama. Dia sarjana Matematik-Fizik yang tidak pernah tahu berapa hasta serban Nik Aziz. Tapi sebagai sarjana, dia telah membuat kajian bersifat adil, terbuka, tidak emosional, tidak fanatik. Dia juga bukan orang Pas.

Sdra! Juga saya tidak paksa sdra percaya, tapi bacalah dengan sifat intelektual, bacalah dengan kritis. Tak tebalpun. Kalau malas-malas baca, dua hari boleh habis. Kalau anda kaki membaca, tiga jam habis.

Baca dan kemudian berfikir, apakah tohmahan tentang ‘serban Nik Aziz, kaki bohong, suka mengata kat orang, bodoh memerintah, Kelantan tak boleh maju’ akan terjawab apabila anda membaca bab; Gaya Kepimpinan Nik Aziz Yang Serasi Dengan Jiwa Melayu, Aksiom Kepimpinan Sarjana Tamadun Islam dan Kepimpinan Nik Aziz, Kepimpinan Nik Aziz Mengikut Bukhary al-Jawhary, Aksiom Kepimpinan Barat Mutakhir dan Kepimpinan Nik Aziz, Cakravantin dan Kepimpinan Melayu Kini dan Natijah Kepimpinan Nik Aziz.

Sekali lagi saya minta saudara jangan emosional dan jangan bebal. Saya percaya apabila anda menbaca ini setidak-tidaknya anda terfikir dan tertanya apakah anda adil menganggap Nik Aziz seperti anda tohmah itu? Kecuali jika anda hanya mencemik bila melihat buku ini dan terus bebal mengatakan Nik Aziz ‘Zuhud Kambing.’

Saya tidak membela terhadap kritikan blog saya. Saya terbuka. Tapi saya amat kasihan dan bersimpati kepada saudara dan kawan-kawan yang tidak terbuka fikiran, bersifat bebal dan masih menjadi golongan yang tidak pernah tahu pemikiran orang lain.

Memang benar, Profesor Shaharir bukan Qaradawi atau Mahathir. Tapi bagi mereka yang menghormati ilmu, ternyata Prof Saharir bukan calang-calang orang. Pendapat dan penulisannya bertaraf dunia, lainlah kalau saudara masih juga bersikap bebal menolak dengan kata-kata; piirraaahhh!

Ini adalah analisis secara akdademik, bukan ulasan dari penyokong atau pengampu. Dia bukan lebai pondok Paya Tumbuh, tapi pakar Matematik-Fizik yang bukan sekadar matematik 2 x 5= 10.

Bacalah! Setidak-tidaknya anda akan mendapat keadilan berfikir. Saya sangat mengalu-ngalu pemikiran kritis tetapi bukan bebal. Kemudian terpulang kepada anda sama ada menerima atau menolaknya.

Kepada Jab, dapatkanlah buku kecil ini. Kalau sukar nak dapat, hubungi saya. Saya boleh sedekah.

Salam.

Tiada ulasan: