"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Derita beristeri samseng dilayan bagai kain buruk

ASMIZAN MOHD SAMIRAN
APALAH nasib seorang suami apabila isteri yang dikahwini atas dasar cinta bersikap ala samseng apabila sering mengungkapkan perkataan sumpah seranah seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus terhadap suaminya. Bukan saja suami, keluarga suami turut menerima nasib sama.
Lebih 10 kali juga isterinya meminta cerai selepas memulakan pergaduhan dengan alasan si suami lambat mengangkat panggilan telefon dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantarnya.

Atas alasan lambat mengangkat telefon dan membalas SMS itu juga, barangan peribadi termasuk hak milik syarikat tempat si suami bekerja, dirosakkan si isteri.

Paling memilukan si suami, pernah satu ketika isterinya mengejutkannya daripada tidur menggunakan kaki. Ikuti luahan Razman, 30, kepada wartawan Metro Ahad, ASMIZAN MOHD SAMIRAN mengenai kisah dukanya memperisterikan ‘wanita samseng’ sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Bagi membuktikan dakwaannya, Razman menghubungi beberapa ahli keluarga, rakan dan jiran supaya wartawan mengetahui sendiri kebenaran kisahnya.

“Mahligai perkahwinan kami dibina atas dasar suka sama suka. Lima tahun berkenalan membuatkan saya mengimpikan hidup bahagia dengannya. Sepanjang berkenalan hinggalah bertunang dalam tempoh itu, memang ada pergaduhan dan beberapa kali saya dimakinya, namun dia (isteri) meminta maaf dan berjanji untuk berubah.

Saya terima dia dengan hati terbuka dengan harapan dia berubah. Namun selepas bergelar suami isteri, dugaan demi dugaan menimpa saya. Hari bersanding dia sudah buat hal.

Saya dan keluarga tiba lewat sedikitpun dia menengking. Rakan saya datang dari jauh mahu mengambil gambar bersama pun dia naik angin sambil berlalu dengan jelingan benci. Malu saya dengan rakan yang hadir.

Selepas sebulan hidup bersama, saya lihat perangainya semakin menjadi-jadi. Jika saya lambat mengangkat telefon atau membalas SMS, dia mengamuk. Bukan mengamuk biasa, tetapi sampai minta cerai.

Walhal, saya bukan tidak menjawab panggilan atau SMS dihantarnya, tetapi lambat jawab kerana ketika itu bermesyuarat atau berbincang dengan majikan.

Dia tuduh saya lambat jawab telefon atau SMS sebab ada perempuan lain. Atas sebab itu dia minta cerai. Ikutkan hati saya nak ceraikan saja, tetapi saya masih waras dan sayangkannya.

Saya buat tak tahu saja dan keluar rumah seketika bagi meredakan keadaan. Apabila pulang, saya pujuk dan sejukkan hatinya, OK lah dia sikit. Namun, perangai samsengnya tak berubah.

Kalau marah, habis disumpah seranahnya saya. Perkataan seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus sentiasa diungkapkan kepada saya. Tak puas sumpah seranah menerusi mulut, dia SMS kepada saya.

Bukan saja kepada saya, tetapi juga adik-beradik dan beberapa rakan saya. Malu saya dibuatnya. Antara SMS mengatakan saya jantan tak guna, menyesal kahwin dengan saya, jangan ingat anak dalam kandungan akan menjadi milik saya dan pergi jahanam.

Saya cuba mengambil pendekatan tegas dengan menegur perbuatannya. Apabila ditegur, dia sesuka hati keluar rumah. Pernah sekali dia hilang empat hari, katanya pergi kerja, tetapi rupa-rupanya balik kampung tanpa pengetahuan saya.

Risaunya saya ketika itu hanya Allah SWT yang tahu. Saya risau sebab dia mengandung. Selepas itu baru saya sedar, ibu dan ayahnya kerap masuk campur dengan hal rumah tangganya. Saya menemui SMS daripada ibu mentua di dalam telefon bimbit isteri.

Mentua ‘mengajar’nya supaya meletakkan ‘air penawar’ di dalam makanan atau minuman saya supaya saya tunduk dengan isteri.

Lebih menyedihkan saya, satu lagi SMS ditulis ibunya menuduh saya mencuri barangan isteri untuk dibuat ‘guna-guna’ supaya isteri tunduk kepada saya.
Baca selanjutnya di sini
-hmetro-

Tiada ulasan: