"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno lindung kezaliman polis selagi tekan pembangkang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) melindungi polis dengan tidak mengadakan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai tukar ganti kepada bantuan pihak berkuasa itu dalam memberi tekanan kepada parti pembangkang.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, keengganan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu menyebabkan golongan berbeza fahaman politik dengan kerajaan, ditindas polis.

Katanya, kaedah mengekalkan kuasa politik itu banyak diamal rejim penindas di seluruh dunia dan dipraktikkan kerajaan Malaysia dan Singapura sejak zaman kemerdekaan lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak sepupu Perdana Menteri itu segera meletak jawatan lantaran tiada keazaman politik dalam mendisiplinkan polis, sebaliknya lebih banyak kezaliman polis berlaku.

“Hishammuddin dan polis seperti tidak pernah mengambil teladan daripada kes seperti A Kugan, Aminulrasyid Hamzah, Norizan Salleh serta Chia Buang Hing,” katanya pada kenyataan media kepada KeadilanDaily.com.

Hishamuddin baru-baru ini mengulangi keengganan kerajaan untuk mengadakan IPCMC walaupun menerima desakan pelbagai pihak termasuk rakyat biasa, sedangkan pelaksanaan itu adalah cadangan suruhanjaya diraja beberapa tahun lalu.

Antara kes kezaliman polis yang ketara ialah kejadian A Kugan mati selepas berada dalam tahanan polis selama lima hari di Balai Polis USJ.

Norizan Salleh pula adalah seorang ibu tunggal yang ditembak secara rambang sewaktu menaiki kereta di lebuh raya MRR2 pada 30 Oktober 2009.

Aminulrasyid Hamzah pula seorang remaja berusia 14 tahun yang juga mati ditembak polis di kepala sewaktu pulang dari kedai makan di Shah Alam.

Chia Buang Hing adalah seorang peniaga bingkai yang dipukul dan wangnya sebanyak RM13,000 dicuri sewaktu berada dalam tahanan polis di Balai Polis Dataran Sunway.

Surendran kesal kerana Hishammuddin dan Ketua Polis Negara kelihatan tidak kisah dengan penderitaan rakyat di tangan polis yang semakin tidak mempeduli proses undang-undang.

“Statistik terbaru dikeluarkan Lawyers For Liberty menunjukkan peningkatan 17 kali ganda kes tembakan polis, dan 160 orang mati sejak 2000.

“Aminulrasyid mati kerana Hishammuddin gagal mendisiplinkan polis,” kata Surendran.

Tiada ulasan: