"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kandungan SMS Teoh didedah

Suruhanjaya siasatan untuk kematian Teoh Beng Hock hari ini mendedahkan beberapa isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari telefon bimbit milik setiausaha politik Exco Selangor itu.

Jurubahasa Mandarin menterjemah beberapa SMS tersebut dan antara yang menarik perhatian adalah SMS yang diterima pada hari kematian Teoh (16 Julai 2009) daripada seseorang yang bimbang dengan keadaannya.
NONEIa tertulis "Beng Hock awak sudah popular, awak macam mana, kami bimbangkan awak, sudah keluar nanti jangan lupa hubungi kami yang awak selamat" dan "Beng Hock apa khabar, tadi ada orang mengatakan awak mati terjun bangunan, saya sangat takut buat saya terkejut. Selepas itu ada orang kata awak tak apa-apa, baru senang hati, harap awak tidak apa-apa, kak Lan"

Kedua-dua SMS tersebut dibuka dari 'inbox' telefon bimbit mendiang oleh seseorang yang masih tidak diketahui dan terdapat juga SMS yang menyatakan kehadiran pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan mereka memeriksa komputer.

Pada inkues lalu di Mahkamah Koroner Shah Alam, pihak yang terlibat tidak pernah menyoal mengenai maklumat di dalam telefon ini.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

azlanSementara itu, Pegawai Penyiasat Seksyen Jenayah Komputer Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan memberitahu bahawa Teoh menerima panggilan terakhir pada 15 Julai 2009 pada pukul 6.18 petang dan panggilan terakhir yang dibuat Teoh adalah pada pukul 6.15 petang hari yang sama iaitu pada ketuanya, Yong.

Panggilan terakhir yang tidak dijawab pula direkodkan pukul 5.19 petang pada 15 Julai 2009 oleh Anggota Majlis Perbandaran Kajang Lim Kee Hiong.

Mengenai siapa yang membuka beberapa SMS tersebut selepas Teoh meninggal dunia, Mohd Zaidi berkata bukan beliau yang membacanya kerana beliau hanya perlu mengeluar serta mencetak maklumat yang telah dibuka.

Selain Mohd Zaidi, ahli kimia dari makmal forensik Jabatan Kimia Petaling Jaya, Zaraiha Awang turut memberi keterangan hari ini dan menyatakan beliau memeriksa dua sample darah, iaitu spesimen air kencing serta isi perut milik Teoh.

Hasil pemeriksaannya didapati tiada sebarang kesan dadah, racun serta alkohol dikesan daripada badan Teoh.
azlanSuruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lalu, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.

Di awal prosiding, Hakim Foong memaklumkan bahawa suruhanjaya akan mendedahkan siapa yang dilantik sebagai penyiasat persendirian tidak lama lagi dan akan memanggil wakil syarikat telekomunikasi DIGI memberi keterangan berhubung transaksi panggilan.

Beliau turut menyatakan pihak suruhanjaya telah menghubungi dua pakar patologi iaitu Dr Pornthip Rojanasunand dan Prof Dr Peter Vanezis tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan.

Seorang pakar tulisan tangan dari United Kingdom juga akan dipanggil memberi keterangan, katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: