"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Rayuan: Perjanjian SYABAS kekal sulit

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Sekali gus, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu menetapkan supaya dokumen berkenaan tidak didedahkan.
Dokumen berkenaan melibatkan perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan juga satu laporan audit yang menjustifikasi kenaikan tarif air oleh syarikat itu.

Panel rayuan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaleha Zahari. Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus.

Ahli parlimen Klang Charles Santiago yang menghadiri prosiding itu berkata, kedua-dua Zaleha dan Abu Samah menerima rayuan oleh kerajaan Malaysia dan berpendirian bahawa responden berkenaan tidak mempunyai lokus standi dalam kes itu.

Bagaimanapun, Mohd Hishamudin dalam keputusannya berpandangan bahawa responden berkenaan berhak diberikan akses kepada dokumen berkenaan kerana kerajaan patut bertanggungjawab ke atas urus tadbir yang baik, kata Santiago lagi.

Santiago juga berkata, Hishamudin turut menekankan bahawa kerajaan juga perlu bertanggungjawab memandangkan peningkatan dalam tarif air akan membebankan rakyat.

Keputusan itu dibuat ke atas rayuan oleh menteri dan kerajaan Malaysia ke atas satu semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun, 2008.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu membenarkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan 13 individu lain mengakses dokumen berkenaan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: