"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua parti boleh bawa bendera iringi calon esok

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Wan Ahmad Wan Omar berkata, anggota parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya kecil, masih boleh membawa bendera ketika berarak bersama calon esok.

"PKR nak bawa bendera PKR, DAP nak bawa bendera DAP semua boleh. Tetapi lepas sudah sah calon bertanding tidak boleh lagi," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, hanya parti yang bertanding sahaja dibenarkan memasang bendera dan bahan kempen apabila tempoh berkempen bermula esok.

Walaupun mereka ingin membayar deposit bahan kempen, perkara itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang.

Ditanya tentang pemasangan bendera yang sudah dikesan di Kerdau, Wan Ahmad berkata buat masa ini ia terletak bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

SPR, tambahnya hanya diberikan kuasa mulai esok hingga tamat pengundian.

"Undang-undang jelas, ia di bawah PBT. SPR tak ganggu," katanya.

Sementara itu, kemungkinan besar tiada pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac ini.

Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pertembungan BN-PAS itu dijangka apabila hanya dua parti tersebut sahaja membeli borang penamaan calon.

"Kalau saya kata sepuluh borang dibeli, tapi semuanya dari satu parti, sama saja. Jadi kita jangka hanya ada dua penjuru saja," katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan bekas wakil rakyat sekitar tahun 1980-an mahu menawarkan diri untuk sama-sama bersaing dengan BN dan PAS atas tiket bebas.

Bekas ADUN itu yang ingin namanya disiarkan yang pernah berkhidmat di Jabatan Penerangan Jerantut memberitahu, hasratnya untuk bertanding atas tiket Bebas bertujuan 'mengajar' PAS dan BN supaya tidak terlalu yakin untuk mencapai kemenangan.

"Saya bertanding bukan kerana mahu menang tetapi mahu memecah undi," lelaki 60-an itu dipetik sebagai berkata.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: