"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siswi tunggang motor 300km untuk buang bayi zuriat sendiri

Salman Hamat 
PONTIAN: Misteri ibu kepada bayi yang ditemui dalam mangkuk tandas di stesen minyak di Jalan Api-Api di sini, Ahad lalu, terbongkar selepas polis menahan seorang pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di rumah keluarganya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi berkata, gadis berusia 20-an itu ditahan selepas pihaknya mendapatkan gambarannya daripada pekerja stesen minyak berkenaan tidak lama selepas penemuan mayat bayi terbabit.

“Hasil maklumat, lokasi kediamannya dikesan dan kami ke sana jam 9 malam Rabu lalu, sebelum menahannya bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati gadis itu melahirkan bayi lelaki berkenaan di dalam tandas rumah sewanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya, semalam.

Menurut Zahaliman, siasatan mendapati pelajar tahun akhir itu menunggang motosikal seorang diri sejauh kira-kira 300 kilometer dari rumah sewanya untuk ke stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata, gadis terbabit bimbang rahsianya melahirkan anak terbongkar dan nekad untuk cuba menutup perkara terbabit.

“Siasatan mendapati bayi itu dipercayai meninggal dunia sehari selepas dilahirkan, gadis terbabit kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan berusia 72 tahun terkejut apabila terjumpa mayat bayi di dalam tandas sebelum memaklumkannya kepada pekerja stesen minyak itu.

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati bayi yang dibungkus dengan kain berkenaan sudah meninggal dunia.
-hmetro-

Tiada ulasan: