KUALA LUMPUR: Segelintir warga emas tempatan kini sanggup merancang perkahwinan palsu atau menjadi suami sewa semata-mata untuk mendapatkan ganjaran wang bulanan yang dikutip daripada isteri warga asing.
Kebanyakan lelaki yang diistilahkan sebagai suami boneka ini, berpura-pura berkahwin dan mendaftar perkahwinan terbabit dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan isteri warga asing terutama dari China tinggal lebih lama di negara ini untuk menjalankan kegiatan sebagai pelacur atau pelayan pelanggan (GRO) sepenuh masa.
Sumber Jabatan Imigresen berkata, bilangan pasangan suami isteri kahwin olok-olok terbabit dikesan bertambah selepas pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati kebanyakan suami warga tempatan dibayar RM300 hingga RM1,000 sebulan oleh isteri dikahwini itu.
Menurutnya, kebanyakan wanita warga asing itu menjadikan perkahwinan dengan warga tempatan sebagai lesen untuk menjalankan kegiatan maksiat di negara ini tanpa bimbang diberkas pihak berkuasa atau dihantar pulang ke negara asal.
“Pelacur atau GRO yang ditahan biasanya akan memberi alasan sudah berkahwin dengan lelaki tempatan melalui prosedur sah membolehkan mereka diikat jamin suami masing-masing.
“Bagaimanapun, pasangan ini biasanya tidak tinggal serumah sebaliknya si suami akan muncul sekiranya wanita warga asing terbabit menghadapi masalah atau ingin memperbaharui pas lawatan isteri yang perlu dibuat setiap tahun dengan bayaran RM90 setahun,” katanya.
Beliau berkata, mengikut undang-undang imigresen, wanita yang berkahwin dengan lelaki tempatan dibenarkan tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan itu. Bagaimanapun, mereka boleh memohon untuk menjadi warga negara selepas lima tahun bermastautin di Malaysia.
“Jika permohonan mereka diluluskan JPN, wanita terbabit akan diberikan kad pengenalan merah. Bagaimanapun, proses terbabit bukan mudah dan tidak semua akan dibenarkan menjadi warga negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menyedari taktik digunakan wanita warga asing terbabit terutama membabitkan GRO atau pelacur kelas atasan warga China.
Menurutnya, lelaki tempatan terbabit seolah-olah dijadikan hamba duit oleh wanita warga asing itu apabila dijanjikan dengan habuan wang bulanan sekiranya setuju nama mereka dipinjamkan.
Menurutnya, agak menghairankannya apabila ada antara lelaki warga emas yang datang ke pejabatnya membuat aduan mendakwa ditipu atau kehilangan isteri warga asing berusia jauh lebih muda berusia 20 hingga 30 tahun.
“Selain itu, ada wanita warga asing yang datang menemui saya dan mendakwa suami masing-masing enggan melanjutkan tempoh visa penginapan di negara ini dengan pelbagai alasan mencurigakan.
“Namun, masalah diadukan itu mempunyai agenda tersirat apabila si suami hanya mahu mencari isteri warga asing dikahwini berikutan tidak mendapat wang bulanan dijanjikan manakala si wanita pula mencari suami tempatan berikutan tempoh visanya hampir tamat,” katanya.
Katanya, pasangan suami isteri itu terbukti merancang perkahwinan palsu apabila majoriti mereka tidak mempunyai cahaya mata, malah tidak mempunyai alamat rumah yang membuktikan mereka tinggal sebumbung.
Menurutnya, perkahwinan itu biasanya diatur orang tengah yang berperanan mendapatkan suami tumpang untuk gadis asing ini yang meletakkan syarat khas berbentuk imbuhan bulan.
“Mungkin perkahwinan pasangan ini didaftarkan secara sah, namun hakikatnya ia hanya topeng untuk melindungi gadis atau wanita terbabit yang menjalankan aktiviti maksiat di negara ini,” katanya.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan