Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Terbongkarnya kisah Perdana Menteri dan jemaah menteri ditipu mengukuhkan lagi bukti bahawa Umno hakikatnya adalah boneka dan kuda tunggangan MCA, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"Para pemimpin MCA yang menipu, cerdik. Para pemimpin Umno yang kena tipu, bodoh.
"Dakwaan ke atas (Tan Sri) Chan Kong Choy atas tuduhan menipu Perdana Menteri dan dakwaan ke atas (Tun) Ling Liong Sik menipu kabinet hanyalah dua kes yang kita tahu. Bagaimana pula kes-kes yang kita tidak tahu?
"Adakah hanya dua kali sahaja para pemimpin MCA menjadikan para pemimpin Umno termasuk (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sebagai boneka dan kuda tunggangan mereka?" kata beliau.
Najib dan Muhyiddin adalah antara anggota kabinet yang didakwa telah ditipu oleh Liong Sik.
"Dalam kes Kong Choy, nampak lebih jelas lagi trend terkini Umno yang menyalahkan (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) atas semua kelemahan parti itu.
"Asal ada kelemahan dan kesalahan Umno, Abdullah dipersalahkan.
"Memang benar Abdullah Perdana Menteri ketika Kong Choy didakwa menipu. Tetapi Najib sebagai timbalannya ketika itu dan para menteri Umno lain buat apa?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.
Kalau Najib dan para menteri Umno lain menyatakan mereka tidak tahu Abdullah ditipu, mereka tidak bertanggungjawab kerana membiarkan Abdullah yang menjadi Perdana Menteri ketika itu bertindak sesuka hatinya, kata Mahfuz.
Kalau mereka tahu dan membiarkan Abdullah ditipu, katanya lagi, mereka sebenarnya bersyubhat melakukan penipuan.
"Yang jelas, sama ada yang menipu atau ditipu, kedua-kedua pihak tidak layak memerintah negara ini. Yang menipu jahat dan yang kena tipu pula bodoh dan jahat.
"Yang ditipu juga jahat kerana tetap gila kuasa walaupun bodoh dan mudah ditipu," kata Mahfuz.
Ketika rakyat di negara-negara lain bangkit mempertahankan hak dan maruah mereka, beliau menyifatkan amat malang bagi negara ini jika rakyat terus membiarkan orang-orang jahat dan bodoh menjadi pemerintah.
Isnin lalu, Kong Choy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya dengan pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Beliau adalah VVIP kedua yang didakwa berhubung skandal PKFZ yang kosnya dikatakan naik mendadak dan menurut laporan audit mungkin akan menyebabkan negara kehilangan RM12.5 bilion.
Pada 29 Julai tahun lalu, Liong Sik didakwa atas tuduhan menipu kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah pada harga yang lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan