"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ikut Suhakam benarkan perhimpunan aman - Timbalan Menteri

Hazayani Zakaria
SHAH ALAM, 27 Julai: Kesedaran sosial yang wujud di kalangan rakyat kesan daripada perkembangan media baru merupakan faktor mereka menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, politik di Malaysia telah berubah kepada politik baru yang mendapat sokongan orang muda, ahli akademik dan profesional.

"Suatu ketika dahulu realiti politik semasa itu berlaku dalam satu lingkaran politik. Lingkaran itu masih wujud kerana itu beberapa perkara yang dilakukan parti-parti politik di kedua-dua pihak masih menjadi kebiasaan seperti turun padang, hulur bantuan. Mana yang buruk seperti politik wang harus diperangi, politik harus diperangi habis-habisan.

"Tapi ada lingkaran politik baru.Media baru bukan hanya alat komunikasi tapi orang dah guna media baru sebagai gelanggang beroperasi dan berkongsi," kata beliau dalam debat 'Apa Selepas 9 Julai' anjuran akhbar Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, dekat sini, semalam.

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang menyokong tuntutan Bersih 2.0 dan menyatakan sokongannya kepada Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang terlibat secara langsung dalam tuntutan tersebut.

"Saya tahu kenapa Pak Samad sertai Bersih dan saya hormati Pak Samad.

"Bersih bukan pertubuhan tapi satu program. Tapi bila saya kata saya faham Bersih walaupun saya tak sokong tapi saya pun kena hentam tapi tak apa. Itu hak masing-masing.

"Orang nak hentam pun boleh, sama juga demonstrasi dibenarkan dalam demokrasi. Tengok kamus dewan apa makna demonstrasi, perarakan, perhimpunan. Sebab itu saya rumuskan kita kena ikut Suhakam dengan membenarkan perhimpunan aman, selesai masalah," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 600 hadirin.

Sehubungan itu katanya, rakyat yang menolak tuntutan Bersih harus menerima ianya sebagai demokrasi yang matang dan mengakui beliau sedang memperjuangkan perkara itu.

"Bagaimana kita boleh mematangkan demokrasi? 9 Julai berlaku dalam dua pusingan. Sesiapa yang melihat ianya berlaku dalam pusingan pertama memang peliklah pandangan dia dan dia tak akan faham apa yang berlaku," katanya.

Tambah beliau, pemimpin mana-mana politik harus mengutamakan pandangan rakyat, bukan mengutamakan kepentingan parti.

"Jangan letakkan parti di tempat pertama tapi rakyat yang pertama," katanya yang juga ahli Parlimen Temerloh.

Tiada ulasan: