"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cincin RM24 Juta : Akhirnya Rosmah Bersuara, Sifatkan Fitnah





KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Setelah sekian lama mendiamkan diri sejak angin bertiup kencang tentang pembelian cincin bernilai RM24 juta, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor akhirnya bersuara dan menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa mahu melayannya.

“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

“Ini bukan perkara seronok-seronok, ini adalah fitnah . . . apa yang saya tidak rasa? Semua saya sudah rasa (difitnah).

“Justeru, daripada saya layan perkara seumpama ini lebih baik saya beri perhatian kepada hal rakyat kerana itu lebih penting,” katanya kepada pemberita di Pokok Sena, Kedah, semalam.

Ekoran kemunculan isu itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.

Ketua PKR Rembau itu turut mendesak supaya Rosmah memberi penjelasan sumber wang yang dibelanjakannya untuk membeli cincin tersebut.

Badrul berkata beliau juga akan menyerahkan salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta  itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima SAMM 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Rosmah yang berada di Kedah mengiringi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri itu semalam diminta mengulas dakwaan media alternatif baru-baru ini kononnya beliau membeli sebentuk cincin bertatahkan berlian bernilai lebih RM24 juta.

Sementara itu, Rosmah berkata, sebagai isteri Perdana Menteri yang mempunyai kelulusan dan kelayakan lebih wajar baginya untuk menyumbang kepada usaha membantu rakyat termasuk usaha memantapkan pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar.

“Saya lebih senang dengan apa yang saya lakukan sekarang bagi membantu rakyat terutama dalam hal memperkasa pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar kerana bagi saya ilmu adalah harta paling bernilai untuk masa depan mereka,” katanya.
-tvsnews-

Tiada ulasan: