amkns
Berita Harian, 21 Jul 2011: ZAINI kini tinggal sendirian selepas kematian suami Oktober lalu. “Selain memenuhi permintaan arwah supaya tidak memaklumkan kepada sesiapa, saya juga tidak ada sesen pun untuk menguruskan jenazahnya. “Duit yang ada ketika itu hanya cukup untuk membayar tambang bas pergi dan balik kerja pada hari berkenaan,”..kata Zaini Malek, 48, wanita yang dijatuhi hukuman denda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin kerana menyembunyikan kematian suaminya, Abd Halim Manan, 70, selama empat hari di rumah mereka di Kampung Batu Berendam, Melaka, pada Oktober lalu.Menceritakan lanjut kejadian itu, Zaini berkata, beliau berpatah balik dari tempat kerjanya di Hospital Melaka (HM) selepas tidak sedap hati meninggalkan arwah yang menghidap sakit buah pinggang dan terlantar seorang diri di rumah.
“Sebaik tiba di rumah kira-kira jam 3 petang, saya dapati arwah sedang berbaring. Saya rapati dan mendapati arwah masih bernafas biarpun sangat perlahan. Kemudian saya duduk di tepinya sambil mengurut-ngurut tangan dan kakinya.
“Namun, pada kira-kira jam 6 petang, saya dapati dia tidak lagi bergerak biarpun saya memanggil namanya banyak kali. Tidak cukup dengan itu, saya cuba menggerakkan badannya tapi tidak ada tindak balas dan saya percaya dia sudah meninggal dunia.
“Selepas itu saya langsung tidak terfikir untuk meminta bantuan sesiapa termasuk jiran dan saudara-mara sebelah suami yang menetap di Alor Gajah. Yang saya ingat hanya pesanan arwah.
“Ketika hayatnya, arwah tidak suka menyusahkan orang, sehinggakan kematiannya pun dia minta tidak dihebahkan. Kebetulan pula ketika itu saya kesempitan wang dan segan pula untuk memohon pertolongan orang di sekeliling,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Pada 7 Oktober lalu, akhbar melaporkan penemuan mayat seorang lelaki warga emas berhampiran sebatang pokok pisang berdekatan kediaman wanita itu, dalam keadaan busuk dibungkus dengan plastik sampah.
Siasatan awal polis mengesyaki mayat berkenaan dibuang oleh seorang wanita dipercayai isterinya. Zaini kemudian ditahan untuk membantu siasatan, sebelum dibebaskan pada kira-kira jam 11 malam, pada hari sama.
Sambil mengakui menyesal dengan perbuatannya beberapa hari selepas kejadian, Zaini yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, reda dengan apa yang berlaku dan berharap masyarakat memaafkan kesalahannya.
“Saya sayangkan arwah yang saya kahwini 13 tahun lalu dan saya juga bukan sengaja menyimpannya. Malah, saya bukan mendera atau membunuhnya. Saya tersepit dengan keadaan ketika itu,” katanya yang kini hidup sebatang kara dan hanya ditemani lima ekor kucing di rumah sewanya di Kampung Batu Berendam.
Sementara itu, seorang jiran Zaini yang ditemui, Jaliah Dol, 62, berkata pasangan itu sudah menetap di kampung berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan dikenali penduduk serta tidak pernah mendatangkan masalah kepada sesiapapun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan