"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DUPW kesal kenyataan bekas mufti

sripetaling
Kuala Lumpur, 21 Julai 2011: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya melahirkan rasa terkilan terhadap salah tanggap bekas Mufti Wilayah Persekutuan terhadap PAS dalam kenyataannya semalam sepertimana yang dilaporkan oleh pihak utusan yang bertarikh 20 Julai di bawah tajuk " Haram kafirkan orang Islam".

Tajuk yang betul tetapi digunakan dengan cara yang salah sepertimana ungkapan arab "kalimatul haq yuroodu biha al-bathil" yang bermaksud perkataan yang benar tetapi dengan tujuan yang batil (salah)"

Apa yang diungkapkan oleh Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein di dalam kenyataannya mengenai kerjasama PAS - DAP adalah menggambarkan seolah-olah ketidakfahaman beliau mengenai Syiasah Syar'iyyah terutamanya persoalan Tahaluf Siyasi.

Ini jelas dalam kenyataannya beliau "Sebagai contoh Pas. Parti ini sanggup melakukan apa sahaja demi politik. Sejak bersahabat dengan DAP, hukum kafir orang Islam yang bekerjasama dengan orang bukan Islam telah berubah. Sepatutnya Pas mempertahankan hukum itu sampai bila-bila," katanya lagi.

Seterusnya tidak pelik apabila Tun Dr Mahathir berlipat kali ganda tidak memahami dan mungkin tidak mahu cuba memahami Siyasah Syar'iyyah dengan kacamata yang benar apabila sering mendendangkan semula lagu-lagu lama seperti kenyataan Tun Mahathir:

"Jika pada esoknya pemimpin mereka mengatakan perkara sebaliknya iaitu kerjasama dengan bukan Islam dibenarkan, para penyokong mereka sedia melupakan tuduhan kafir yang dilemparkan sebelum ini..."

"Perkara perubahan hukum ini telah dijelaskan oleh Ibnu Qayyim sejak ratusan tahun yang lalu melalui kitabnya i'lam al Muwaqqi'ien' Berubahnya fatwa berdasarkan berubahnya zaman , keadaan dan tempat." Ujar Ustaz Azhar ketika dihubungi oleh pihak web DUPP.

Namun begitu beliau bersetuju dengan penegasan agar isu mengkafirkan seseorang adalah suatu yang serius bahkan perlu diambil tindakan tegas kepada sesiapa yang mengkafirkan seseorang dengan tidak selayaknya. Akan tetapi pemahaman kepada batas-batas iman dan kufur adalah perlu diterangkan kepada masyarakat agar mereka tidak menjengah ke ruangan tertegah tersebut.

Tetapi perlu di tegas di sini, bahawa PAS tidak pernah sama sekali mengkafirkan sesama Islam bahkan PAS senantiasa menyeru seluruh umat Islam agar kembali kepada Islam serta mendekati bukan Islam agar mereka memahami gambaran Islam yang sebenar dan bukan sepertimana yang mereka faham melalui amalan kerajaan UMNO sekarang.

Tiada ulasan: