Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Julai: Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (Desak), Nuruddin Zanki menyatakan kekesalan terhadap tindakan warden Asrama Rumah Melayu Abbasiah (Arma), Kaherah yang menghalau 3 orang mahasiswa kerana didakwa terlibat dalam perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Tindakan itu sangat memalukan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), kerana ia dianggap sebagai tindakan yang tidak profesional, lapor laman web Media Mesir.
Pada 19 Julai lalu, salah seorang daripada mangsa telah menceritakan kronologi pembuangan mereka daripada asrama tersebut.
Kekesalan itu turut dilahirkan oleh beberapa pimpinan persatuan pelajar, antaranya Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sendiri yang menegaskan bahawa JPMK sebenarnya tidak berhak ke atas Arma, apatah lagi menghalau penghuni-penghuninya daripada asrama tersebut.
Hal Ehwal Wanita Islam (Hewi) PMRAM turut sama berganding bahu dalam menyatakan penafian mereka terhadap pencabulan hak mahasiswa.
Barisan kepimpinan Hewi PMRAM juga menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang telah menafikan hak kebebasan mahasiswa.
Hewi PMRAM juga turut hadir dalam penyerahan memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa, pagi semalam.
Turut sama dalam penyerahan memorandum tersebut, Aimi Athirah Azmi Murad, Timbalan Presiden II, Persatuan Perubatan.
Keterlibatan mereka di dalam tindakan tersebut menunjukkan kebersamaan mereka dalam mengembalikan hak mahasiswa.
Pada 20 Julai lalu, Desak gagal menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir.
Beliau dan tiba di perkarangan Asrama Anak Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 9 pagi, selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Umno Mesir.
Kemudian, anak-anak Melayu Wilayah Persekutuan telah mengadakan majlis ramah mesra. Setelah selesai program tersebut, pihak Desak telah berusaha bertemu dengan beliau untuk menyerahkan memorandum.
Namun, memorandum tersebut tidak berjaya diserahkan. Ini kerana Dato Seri Jamil Khir enggan menerima memorandum tersebut. Beliau bersama rombongan, masuk ke dalam kenderaan rasmi, dan terus beredar meninggalkan para mahasiswa yang ingin menuntut hak mereka yang dicabul oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).
Kekesalan diluahkan oleh para mahasiswa dengan tindakan tidak profesional mereka.
Ketika para mahasiswa ingin membuat penyerahan tersebut, beberapa orang pengawal bertindak kasar dan melakukan beberapa provokasi bagi menghalang penyerahan tersebut.
Namun, para mahasiswa tidak melakukan sebarang tindakbalas terhadap kekasaran tersebut.
Ini kerana para mahasiswa telah dilarang oleh Desak daripada bertindak kasar, atau melakukan sebarang provokasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan