SALAH satu kebesaran Allah S.W.T adalah apabila Dia memperlihatkan bagaimana tipu helah makar-Nya yang mengatasi tipu daya manusia pemerintah yang zalim. Inilah yang kini terjadi ke atas Najib Razak setelah Allah S.W.T menunjukkan bagaimana Dia menjalankan makarnya terhadap Namrud, Fir’aun dan penguasa yang zalim pada suatu ketika dahulu.
Ramalan Fir’aun bahawa dia akan digulingkan oleh seorang anak kecil yang merampas takhtanya telah menyebabkan beliau memerintahkan supaya setiap bayi lelaki Bani Israel itu dibunuh. Ternyata, makar Allah S.W.T lebih kuat dibanding Fir’aun itu sendiri apabila Tuhan mendewasakan Musa di dalam istana.
Itulah antara cebisan kisah kebesaran makar Tuhan itu yang kini menjalar ke dalam peristiwa hari ini, iaitu yang terkait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang cuba digagalkan Fir’aun moden; Najib Razak.
Alkisahnya, mungkin pada 6 Julai lalu, barulah ada empat kain rentang yang disusun di simpang empat, lampu isyarat yang terletak di persimpangan menuju Masjid Jamek Kg Baru. Mulanya, hanya Pemuda Umno Titiwangsa yang ‘bersuara’, tapi, akhirnya muncul lagi tiga kain rentang di tempat yang sama.
Dan kononnya – Perkasa, Penduduk Kampung Baru dan Bersih 2.0: Najib Razak panik, syor makan diri akhirnya kelompok penjaja dan peniaga di situ pun sudah ‘bersuara’ melalui kain rentang mereka masingmasing.
“Perkasa cintakan keamanan, Bersih cintakan huru-hara,” begitu kata-kata di kain rentang itu dipetik.
Sementara itu, menurut kain rentang itu juga, peniaga Kampung Baru meminta kawasan ini tidaklah dijadikan kawasan perhimpunan lantaran kononnya perhimpunan ini mengganggu perniagaan mereka.
Manakala penduduk kampung pula berkata, kononnya mereka tidak mahu kekerasan Bersih terjadi di daerah ini.
Tapi, semua itu sudah tidak bererti lagi. Orang ramai kini mengetahui bahawa sandiwara ini dimainkan oleh dalang-dalang Umno.
Apakah benar, penduduk serta penjaja di Kampung Baru menentang Bersih 2.0? Hal itu masih boleh disemak lagi daripada semasa ke semasa. Tetapi, apa yang mustahak, hal perhimpunan aman ke stadium ini pun tetaplah tidak disukai oleh Perkasa, Umno, Pemuda Umno termasuklah di pihak Najib Razak sendiri.
Syor Najib Razak agar perhimpunan dibuat di stadium sebenarnya tak lebih daripada sebuah perkataan yang diluncurkan semata-mata bertujuan menunjukkan Umno-BN bersikap lunak terhadap demonstran dan revolusioner selama ini.
Walhal, untuk mengizinkan demonstran Bersih 2.0 berhimpun secara aman di stadium sekali pun, Najib Razak tetaplah berpeluh kerana tuntutan Bersih 2.0 itu bertujuan membersihkan kekotoran pilihan raya yang diterajui oleh kepemimpinan Umno selama ini.
Pembersihan daftar pemilih yang dicemari para pengundi hantu, undi pos polis, tentera dan penggunaan dakwat hitam kekal di jari adalah antara hal yang tentu sahaja tidak disukai oleh Najib, Umno dan BN.
Paling menyedihkan ialah ketika Najib bertambah panik ketika syor beliau seolah-olah ‘diperkenankan’ oleh istana. Iaitu, perhimpunan Bersih 2.0 itu perlu dibuat di stadium setelah dipersetujui pihak istana dan Bersih 2.0 pun sudah setuju dengan perhimpunan aman di stadium itu.
Apakah daya Najib untuk menahan rakyat daripada berterusan melakukan perhimpunan di stadium itu? Sebenarnya, Najib pun tahu sikap Pakatan Rakyat ini iaitu mustahil pembangkang mengikuti cakapnya.
Tiba-tiba, istana bersetuju dan seolah-olah mengikut saranan Najib Razak itu. Padahal, Najib acah-acah sahaja dan dia tahu rakyat tentu tidak bersetuju dengan usul beliau itu.
Jika rakyat terus berdegil dan berkeras untuk berhimpun di luar stadium, maka Najib Razak ada alasan kuat untuk mengisytiharkan darurat dan memberkas semua pimpinan Pakatan Rakyat dengan kekerasan jentera kerajaan. Tapi, Bersih 2.0 sudah mendapat mandat istana untuk berhimpun di stadium.
Walhal, untuk membenarkan Bersih 2.0 berhimpun di stadium sekali pun, Najib Razak sudah risau! Di sini, rakyat akan boleh menilai siapakah penderhaka dalam wajah yang sebenarnya.
“Kenapa tuanku boleh terima permintaan Ambiga, seorang India yang mewakili Bersih, tetapi menolak pertemuan, rundingan bersama Ibrahim Ali yang pernah dilucutkan gelarannya oleh istana Kelantan?” Begitulah antara deretan pertanyaan rakyat yang mula mengesyaki Perkasa; pecahan keretakan Umno yang sudah mula menunjukkan wajah-wajah segerombolan penderhaka kepada institusi raja Melayu.
Sudahlah gelaran datuk Ibrahim Ali itu pernah digugurkan oleh istana Kelantan, Agong sendiri enggan menemui watak pimpinan Perkasa itu. Jelas sekali baginda sultan tidak gemarkan penderhaka Melayu.
Jika Perkasa ingin pulihkan watak persatuan mereka, nampaknya suatu revolusi coup d’etat perlu dibuat di peringkat dalaman supaya setiap ahli Perkasa dapat memilih watak pemimpin Perkasa yang bersih.
Syahadan, demikianlah caranya bagaimana kita dapat melihat kebesaran Allah S.W.T yang menjalankan tipu daya makar-Nya terhadap Umno, Perkasa, Pemuda Umno yang sering melakukan penganiayaan ke atas Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan