"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Norway: 87 mati ditembak lelaki menyamar polis



Pemandangan dari udara pulau Utoeya kelmarin, sehari sebelum insiden seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah lokasi perkhemahan anjuran Parti Buruh Norway. — Foto Reuters
OSLO, 23 Julai: Angka kematian akibat tembakan dilepaskan oleh seorang lelaki yang menyamar polis di lokasi perkhemahan anjuran parti pemerintah Norway semalam meningkat kepada 87 orang.
Insiden itu terjadi beberapa jam selepas letupan bom di pejabat kerajaan di tengah Oslo yang turut meragut nyawa tujuh orang.

Svein Gustav Wilhelmsen/AFP/Getty Images
“Maklumat yang dikemaskinikan menunjukkan angka kematian sekarang sekurang-kurangnya 87 (sudah terbunuh),” kata ketua polis Oystein Maeland pada sidang media.
“Kami tidak boleh memberi jaminan tidak akan ada peningkatan,” kata beliau sambil menambah, ada mangsa yang cedera parah.

Pengunjung ke pulau Utoeya kelihatan di tebing pulau tersebut selepas kejadian seorang lelaki melepaskan tembakan rambang ke arah lokasi perkhemahan semalam. — Foto Reuters
Pemangku ketua polis Sveinung Sponheim pula berkata, “kami masih bertindak atas hipotesis bahawa beberapa orang berkemungkinan terlibat (dalam melakukan serangan).”
“Sekurang-kurangnya satu senjata automatik telah digunakan,” kata beliau.
Saksi-saksi berkata penembak terbabit yang dikenali polis sebagai lelaki berusia 32 tahun, rakyat Norway, memasuki pulau percutian Utoeya dan melepaskan tembakan secara rambang.
Lelaki itu dikatakan ada hubungan dengan kumpulan pelampau sayap kanan.
“Dia ada memberi maklumat-maklumat yang menarik bagi siasatan, ada butiran yang boleh membawa (siasatan) kami ke depan,” kata Sponheim sambil menambah, motif tindakan suspek belum jelas buat masa sekarang.
Serangan itu adalah yang terbesar di Eropah Barat sejak letupan bom di tren Madrid yang membunuh 191 orang.
Laporan media menyebut polis juga telah mengesan bahan-bahan letupan yang masih belum digunakan di pulau itu, yang terletak di sebelah barat laut Oslo.
“Lelaki itu adalah suspek utama letupan bom di Oslo dan disyaki telah bergerak dari ibu negara (Norway) ke kawasan perkhemahan,” katanya.
Terdahulu bangunan pejabat-pejabat kerajaan termasuk pejabat Perdana Menteri di tengah menjadi sasaran letupan.
“Bahan letupan diletakkan dalam kereta dan bom diletupkan selepas orang yang disyaki meninggalkan kawasan kejadian,” kata Sponheim.
Kebanyakan mangsa tembakan berusia antara 14 dan 19 tahun.
“Ia kejadian paling dahsyat di Norway sejak selepas Perang Dunia Kedua,” kata Geir Bekkevold, kata ahli Parlimen pembangkang dari parti Christian Peoples. 
-Reuters-

Tiada ulasan: