KOTA TINGGI: Selepas menyusukan dan meletakkan bayi baru dilahirkannya di belakang rumah didiami bersama keluarga di Teluk Sengat di sini, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 23 tahun dikatakan sanggup membuat helah mengejutkan ibunya dengan memberitahu terdengar tangisan bayi, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, ibu wanita berkenaan panik terus mengejutkan suaminya sebelum mereka menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam keadaan bogel di tepi longkang rumah mereka. Bagaimanapun, helah wanita OKU berkenaan yang mengalami kecacatan di kaki dan mata akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis, kira-kira jam 8 malam di rumah keluarganya selepas dipercayai terbabit melakukan perbuatan itu. Difahamkan, kejadian itu kali kedua wanita berkenaan melahirkan bayi luar nikah hasil hubungan haramnya dengan teman lelakinya warga Nepal selepas dua tahun lalu turut melahirkan bayi luar nikah hasil hubungannya dengan seorang lelaki warga Indonesia.
Menurut wanita itu, dia melahirkan bayi berkenaan seorang diri kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam bilik tidur di rumah keluarganya.
“Ibu bapa saya tidur di bilik sebelah manakala adik bongsu pula di ruang tamu tidak menyedari kelahiran berkenaan.
“Sejurus selepas bersalin, saya sempat menyusu dan mendakap bayi saya sebelum senyap-senyap keluar ke belakang rumah lalu meletakkan bayi itu di tepi longkang rumah,” katanya, semalam.
Difahamkan, ketika ditemui, bayi berkenaan masih bertali pusat selain dipenuhi kesan darah sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.
Menurut wanita itu, ketika polis dan kakitangan perubatan tiba di lokasi kejadian, dia yang memakai jean turut membantu membersihkan semut pada muka bayinya itu.
“Keluarga tidak mengetahui saya hamil kerana biasanya keluar rumah seawal jam 5 pagi untuk bekerja di sebuah kilang di Ulu Tiram sebelum pulang pada lewat malam.
“Pada masa sama, saya turut memakai pakaian bersaiz besar bagi mengelak tembelang hamil anak luar nikah diketahui keluarga,” katanya.
Katanya, ini kali kedua dia melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelakinya warga Nepal manakala anak luar nikah pertamanya lahir hasil hubungan dengan seorang lelaki warga Indonesia diserahkan kepada satu keluarga untuk dipelihara.
Pengarah HKT, Dr Maslina Yusof ketika ditemui mengesahkan bayi itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan diberi rawatan antibiotik bagi mengelak sebarang jangkitan.
“Bayi lelaki berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas rawatan selesai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan.
“Wanita terbabit direman empat hari hingga Ahad ini dan sudah dihantar ke HKT untuk rawatan perubatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan