TOLAK KEZALIMAN...kanak-kanak mengangkat sepanduk menuntut Bashar dihukum di Idlib, barat laut Syria, semalam.
BEIRUT: Seorang gadis ditemui mati dengan lehernya dipancung - dipercayai angkara ejen keselamatan kerajaan Syria, lapor media semalam.
Zainab al-Hosni, 18, didakwa menjadi mangsa perang psikologi rejim Bashar al-Assad untuk menakut-nakutkan orang awam daripada terus menyertai protes mendesak presiden itu disingkirkan.
Dinasti keluarga Bashar menguasai pemerintahan Syria secara kuku besi sejak lebih 40 tahun lalu sebelum dia berdepan penolakan majoriti penduduk Syria sejak enam bulan lalu.
Zainab dipercayai wanita pertama maut ketika dalam tahanan pasukan keselamatan Suria.
Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, mendakwa Zainab ditahan ejen keselamatan kerajaan bagi memberi tekanan kepada abangnya yang menyertai kegiatan antikerajaan supaya menyerah diri.
Saksi berkata, keluarga aktivis antikerajaan berdepan pelbagai tekanan dan ancaman, termasuk melalui panggilan telefon dan pembunuhan - seperti dibuktikan dengan kematian Zainab.
Pejabat hak asasi PBB semalam berkata, tekanan dan serangan ke atas aktivis antikerajaan turut melewati sempadan Syria.
Jurucakap agensi itu, Ravina Shamdasani, berkata pejuang hak asasi manusia di luar negara turut menjadi sasaran.
“Kami bimbang apabila ada laporan menunjukkan keluarga aktivis antikerajaan kini turut menjadi sasaran pasukan keselamatan Syria,” katanya.
-AP/hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan