"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Sabuisme' cetus minat sejarah, kata profesor

Ucapan kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung isu Mat Indera secara tidak langsung merancakkan perbahasan baru berhubung sejarah tanah air, kata Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

Sambil menyifatkannya sebagai fenomena "Sabuisme", Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, ia selari dengan erus globalisasi dan tuntutan pelbagai pihak supaya versi lain dirakamkan bersama dalam penulisan sejarah.

"Saya baru-baru ini dalam satu forum dengan Mohamad Sabu, puluhan ribu orang hadir. Di Jabatan sejarah baru-baru ini ratusan hadir.

"Sebelum itu, kalau forum pukul 8, pukul 8.30 baru orang hadir," kata Dr Mohamad sambil disambut ketawa kira-kira 500 yang hadir dalam forum "Wajarkah sejarah ditulis semula" anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Turut menjadi ahli panel Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan sejarahwan Prof Datuk Ramlah Adam.

Mohamad menjelaskan lagi, beliau dapati berlaku lonjakan berhubung minat orang awam bagi membincangkan persoalan sejarah kemerdekaan tanah air akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, beliau menolak fenomena apabila fakta dan tafsiran sejarah ditentukan oleh ahli politik kerena ia boleh bertukar dalam sekelip mata sahaja.

"Kalau politik saja (tentukan), bukan sahaja bila tukar kerajaan, tukar menteri pelajaran sahaja sudah tukar (tafsiran sejarah)," katanya lagi.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mencetuskan polemik hangat apabila ucapannya pada 21 Ogos lalu mengenai tragedi Bukit Kepong dan Mat Indera mencuri perhatian banyak pihak.

Debat itu berlarutan kepada isu sama ada Tanah Melayu pernah dijajah dan membawa pemimpin PAS itu didakwa di mahkamah kerana menyifatkan pasukan polis yang mempertahankan rumah pasung Bukit Kepong sebagai "polis British".
-malaysiakini-

Tiada ulasan: