"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Udin Anak Yassin Terperangkap

Mohd Sayuti Omar

APABILA Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi kewajibannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, UBN meloncat gembira kerana kenyataan itu sekali lagi akan diratah sebagai isu politik dalam usaha menjempitkan Pas.

Para tukang bodek dan taukeh media penjilat buntut Umno telah mula berangan-angan akan menjadi kenyataan Nik Aziz itu sebagai umpan lemak bagi mempengaruhi orang ramai agar membenci Pas.

Mereka mengira kenyataan itu bakal menjadi isu unuk melumpuhkan Pas di saat menjelang pilihan raya. Harap-harap orang Cina – DAP akan berlaga angin dengan Pas sampai tercabut ekor. Itulah impian para pembodek dan penjilat buntut.

Lantaran itu mereka cepat dan pantas mengulas isu itu dan mengheret ke tengah masyarakat dengan pelbagai ulasan dan juga sorotan mengenainya. Bagi UBN mereka tidak mengira apakah isu berkenaan relevan atau sebaliknya. Asal ianya boleh dijadikan isu dan boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian orang ramai kepada Pas dan Pakatan Rakyat, bangkai pun kalau boleh diheret akan diheret. Politik UBN kepalang kotornya.

Tengok saja kenyataan atau tafsiran Mat Sabu mengenai peristiwa Bukit Kepong, UBN berjaya mengheret isu itu ke tengah masyarakat menjadi isu politik yang ampuh, dan melebelkan Mat Sabu sebagai penyokong komunis. Padahal apa sangat Mat Sabu lakukan, sekadar memberi pendapatnya mengenai kejadian di Bukit Kepong itu secara politik dan lelucon. Dia memberi tafsiran baru yang tidak pun berniat jahat seperti mana disangka dan dimainkan UBN.

Tetapi apa jadi kepada Mat Sabu terpaksa naik turun mahkamah bila tafsir sejarahnya itu dibawa ke mahkamh.

Begitu juga dengan kejadian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memasuki gereja tanpa ketuk pintu di Damansara Utama. Media penjilat buntut dan pembodek Umno mengambilnya sebagai isu. Apa yang mahu ditimbul di sebalik kejadian itu kononnya Pas membiarkan kejadian murtad dan tidak obses lagi kepada agama! Padahal apa yang sebenarnya berlaku Pas sama sekali tidak ada kena mengena dengan kejadian itu. Tetapi ia diputar, dibelit dan disimpulkan oleh UBN sebagai satu kelalain Pas?

Memerhatikan itu semua menunjukkan betapa jahatnya UBN dalam mengutip apa saja isu untuk kepentingan politiknya. Dalam hal ini UBN tidak pernah menilai atau pun mengkaji apakah isu-isu yang dipegangnya itu halal, makruh, mubah atau haram. Semuanya dirembak asalkan dikira memberi untung politik.

Begitu juga dengan kenyataan Nik Aziz sempena melancar Hari Hudud beberapa hari lalu mereka cuba mahu eksploitkannya untuk kepentingan politik murahan mereka. Umno cuba memainkan sentimen kalangan pengundi bukan Melayu agar memarahi Pas dengan menimbulkan cerita Pas hendak laksanakan hudud.

Kalau mereka sedar dan insaf dengan kedudukan mereka sebagai orang Islam mereka tidak patut politikkan kenyataan Nik Aziz itu, sebaliknya menyokong atau setidak-tidaknya mendiamkan saja diri kalau pun tidak setuju. Tetapi kerana telah terdesak, segala kenyataan, lintasan-lintasan fikiran, cakap-cakap kedai kopi pihak Pas dan Pakatan Rakyat akan dikutip sebagai isu. Umno sudah tidak tahu menilai dan menghitung mana isu yang wajib dan mana isu yang bersifat fitnah, kelas kaki lima atau sebagainya semua diraut dan dimainkannya.

Malangnya isu hudud ini UBN terperangkap sendiri. UBN tersumbat gol sendiri sewaktu cuba mengawal tendangan sudut dari Pas. Belum sempat para pembodek menarik isu itu ke atas kertas, ia telah 'termati' dengan sendiri. Tuhan tidak mengizinkan Umno membolak balikkan sesuatu yang baik mengenai agama.

Isu hudud telah memakan diri UBN sendiri apabila timbalan Najib Razak, Udin anak Yassin tersalah cakap, katanya Umno juga pada prinsipnya menyokong hudud, cuma masa saja yang belum sampai menyebabkan Umno tidak akan melaksanakannya. Dalam kata lain di hujung hati Umno mereka juga menerima hudud sebagai satu kewajiban sebagai seorang muslim.

Gara-gara kenyataan Udin anak Yassin itu yang lebih untuk menarik perhatian orang Melayu, UBN berbalah sesama sendiri. Belum habis Udin anak Yassin menjelaskan apa dimaksudkan dengan kenyataan itu, Presiden MCA, Chua Soi Lek bangkit dan bangun membantah hasrat Udin anak Yassin itu. Kata Soi Lek kalau hudud dilaksanakan beliau akan membawa MCA keluar dari Barisan Nasional.

Amaran Soi Lek itu benar-benar mengelabahkan Udin anak Yassin. Cepat-cepat pula beliau menghubungi Soi Lai memberi tahu apa yang sebenarnya yang dimaksudkan. Udin anak Yassin menjelaskan bahawa Umno menerima pada prinsip saja, tetapi tidak berniat untuk melaksanakannya. Dari sisi lain cuba fahamilah dengan kejadian itu bukankah dalam konteks hudud ini Umno telah jadi kerbau untuk ditarik oleh MCA?

Nah di sini nampak sekali Udin anak Yassin begitu takut kepada Soi Lek. Tindakan segera menjelaskan isu itu juga menunjukkan Udin anak Yassin tidak ikhlas dalam menerima hukum hudud itu. Hukum hudud diterima hanya untuk mengambil hati orang Melayu saja. Kenapa tidak, kerana kalau Umno sudah ikhlas sudah lama mereka akan bercakap mengenai hudud atau berusaha memberi kefahaman mengenai hukum berkenaan kepada kaum kerabatnya.

Apakah selama ini Umno melakukan itu? Usahkan untuk memberi penjelasan kepada MCA, MIC atau kaum Dayak, Kadazan lain-lain sesama Umno sendiri juga masih ada yang 'bole' mengenai hukum hudud. Hatta bekas PM sendiri yang dianggap terhebat pun masih buta rengga mengenai hukum hudud. Mahathir bukan ada niat untuk melaksanakan hudud, usaha Pas untuk menegakkannya dihalang dan disindir sepanjang masa.

Sudah jelas bagaikan dibaris, atau yang terang sudah bersuluh bahawa Umno tidak ada niat pun untuk melaksanakan hudud dan syariat Islam. Apapun kenapa Udin anak Yassin bercakap demikian hanya kenyataan politik untuk menggambarkan kepada orang Melayu (dan Islam) kononnya Umno lebih baik dan Islamik dari Pas. Itu saja.

Namun apa terjadi sebaliknya dan ini memeranjatkan Udin anak Yassin; dalam usaha nak memainkan sentimen Melayu orang Cina pula bingkas bangun menghentam balik Umno. Jadi isu hudud ini nampaknya tidak kesampaian bagi UBN untuk dipalu sebagai isu baru meriuhkan halaman politik Malaysia. Di sinilah kalau sesuatu yang dibuat itu tanpa niat kudus ia akan kandas di tengah jalan dan kejahatan kita itu akan terdedah.

Semoga dengan apa yang berlaku ia menginsafkan orang-orang hipokrasi seperti Udin anak Yassin agar tidak mudah memerangkapkan pihak lawan dengan isu-isu agama yang tidak seharusnya dipolitikkan. Betul tak Mat? Mat mana, Mat Maslah lah

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dia tu gila la....

aku terjumpa satu blog baru ni...

lain macam dia punya power kawan2, address dia ...
gerai3abdul.blogspot.com

sesekali pegi sana sedap gak untuk cari idea...