"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkhianat bangsa yang dianggap wira

AMNI JAGAT
SEBUT saja Mat Indera hari ini pasti ramai orang yang mengenalinya. Watak pejuang yang selama ini dituduh sebagai pengkhianat itu kini mulai terbukti kebatilannya tuduhan tersebut. Walau bagaimanapun, beliau telah menjalani hukuman gantung pada tahun 1951, di Taiping, Perak, kerana memberontak menentang penjajah Inggeris.

Namun di sebalik tabir perjuangan Mat Indera itu tersembunyi pula watak pengkhianat yang sebenar. Watak yang dimaksudkan ialah Bajuri Siraj dan Mat Tukyo.

Kedua watak inilah yang sebenarnya menjadi petualang kepada bangsa dan negara. Mereka menjadi tali barut penjajah Inggeris, menangkap Mat Indera.
Dengan tawaran habuan yang lumayan, lenyaplah segala rasa belas dan segala resmi perjuangan bagi menegakkan kemerdekaan di tanahair pada waktu itu.

Bajuri Siraj telah dihadiahkan wang sebanyak $75,000, dan Mat Tukyo telah dihadiahkan ganjaran rumah serta tanah. Dua habuan tersebut telah membutakan mata keduanya untuk menyarung pakaian pengkhianat.

Bajuri dan Mat Tukyo bersyubhat dengan penjajah Inggeris, dengan cara memberitahu kelemahan Mat Indera dan tempat persembunyiannya. Pengetahuan Bajuri dan Mat Tukyo sebagai sahabat karib kepada Mat Indera, inilah yang menyebabkan segala rahsia Mat Indera terbongkar dan dia tertangkap.

Sejarah membuktikan pengkhianatan sering dilakukan dalam perjuangan. Antara contohnya ialah sejarah Umar Mukhtar, yang hasil pembocoran strategi perangnya oleh sahabat sendiri, tertangkaplah Umar Mukhtar sang ‘singa padang pasir’ itu, oleh penjajah Itali.

Demikian juga sejarah Si Pitung dan Pak Sakerah di Indonesia. Keduanya tumpas ke tangan penjajah Belanda (kompeni) hasil pengkhianatan sahabat seperguruan mereka yang tahu akan kelemahan mereka.

Rasulullah s.a.w. sendiri pun mempunyai pengalaman menghadapi pengkhianat dalam perjuangannya. Umat Islam pasti mengetahui nama Abdullah bin Ubai ñ manusia yang dispesifikasikan Rasulullah sebagai munafik, walaupun dia adalah antara manusia yang berada di saf paling hadapan ketika solat jemaah berimamkan Nabi.

Contoh-contoh sejarah ini adalah tiang pedoman bagi manusia untuk menimbang akan keburukan menjadi pengkhianat. Setiap pengkhianatan dilakukan pasti akan menyebabkan sebuah tamadun itu tercemar dengan palitan hitam dalam sejarahnya.

Sejarah Melayu pernah dicemari palitan hitam itu apabila berlakunya pengkhianatan terhadap Hang Tuah, yang berakhir dengan amukan Hang Jebat membunuh rakyat tak berdosa.

Demikian juga pengkhianatan terhadap Hang Nadim di Singapura. Orang yang tidak berdosa menjadi mangsa hasil amukan ikan todak.

Bagi bangsa Melayu sifat khianat terlalu dibenci dan dipandang sebagai sifat yang hina. Dalam penulisan dahulu, penentangan terhadap pengkhianat terlalu ketara.

Dari situlah maka lahirnya pepatah seperti “gunting dalam lipatan”, “telunjuk lurus kelengking berkait”, “duri dalam daging” dan “api dalam sekam”. Menggambarkan betapa tercelanya sifat pengkhianat di mata bangsa Melayu.

Disebabkan pengkhianatan, tamadun boleh hancur, negara boleh tergadai, bangsa boleh terhapus.

Watak seperti Bajuri Siraj dan Mat Tukyo itu tidak seharusnya diangkat menjadi wira, kerana watak-watak itu membantutkan proses kita mencapai kemerdekaan. Tetapi peliknya Bajuri Siraj itu diiktiraf Umno sebagai orang yang berjasa. Dia pernah dilantik Ketua Pemuda Umno Pontian. (Tetapi pada 1961 Bajuri Siraj bertanding dalam pilihan raya sebagai calon bebas).

Persoalannya, dengan mengiktiraf jasa Bajuri Siraj itu tidakkah Umno merupakan sebuah organisasi yang khianat kepada semangat kemerdekaan?

Hari ini bangsa Melayu selalu sahaja diancam dengan golongan pengkhianat yang tidak sudah-sudahnya mengkhianati bangsanya sendiri. Sebut dimulut akan pertahankan Melayu, sedangkan tangannya sibuk merosakkan serta menjahanamkan kemurnian Melayu.
-detikdaily-

Tiada ulasan: