"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hudud PAS hudud palsu: Yang Dipertua Yadim diminta kemukakan hudud sebenar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Aziz Jamaluddin Mhd Tahir yang menyatakan masyarakat Islam hanya membantah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah, bukannya “menentang hukum hudud yang sebenar.”

“Bagi DPPM, kenyataan Aziz seperti menuduh PAS yang mencipta hudud, bukannya ia datang daripada hukum Islam.

“Jika demikian, DPPM mencabar Aziz untuk membuktikan apakah hudud yang sebenarnya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor sebagai respons kepada kenyataan Aziz yang disiarkan di dalam portal berita The Malaysian Insider, hari ini.

Justeru, beliau meminta Aziz memberikan perbezaan antara hudud yang diperjuangkan PAS dengan hudud yang diperintah Allah SWT untuk dilaksanakan.

DPPM, katanya sanggup menyediakan Aziz ruang untuk menyampaikan maksud hudud sebenar seperti yang diperintah oleh Islam.

DPPM juga, ujarnya mempersoalkan di manakah bahagian dalam hukuman hudud yang direka oleh PAS dan di bahagian manakah yang datangnya dari perintah Allah SWT.

“Jika PAS memperjuangkan hudud untuk kepentingan politik semata-mata, mengapa tidak ada pihak lain seperti Umno memperjuangkan syariat Islam yang sebenar-benarnya?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Yadim sendiri tidak turut menyuarakan pentingnya hudud serta syariat Islam dalam menyelesaikan masalah sosial dalam negara.

Katanya, Aziz Jamaluddin perlu ingat bahawa hudud adalah syariat Islam yang telah lama termaktub dalam al-Quran dan Hadis.

PAS, jelasnya hanya membawa kembali syariat Islam yang telah dilaksanakan di zaman Rasulullah SAW ke zaman ini.

Tambahnya, umat Islam di zaman sekarang telah lama melupai bahawa hudud serta syariat Islam pernah dilaksanakan dan hudud adalah penyelesaian terhadap masalah sosial yang berlaku sekarang.

Sepatutnya, kata Riduan Yadim sebagai organisasi dakwah perlu menerangkan kepada umat Islam tentang syariat Islam yang sebenar.

Menurutnya, umat Islam tidak harus dibiarkan dalam keadaan jahil terhadap syariat agamanya.

“Yadim tidak harus berdiam diri dalam isu ini, sebaliknya perlu membela golongan yang mahu melaksanakannya. Berdosa besar hukumnya bagi sesiapa yang menolak hukum Allah dilaksanakan, apatah lagi bagi mereka yang berilmu seperti YDP Yadim,” katanya.

Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan Aziz agar berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan.

Menurutnya, menuduh PAS sebagai parti yang ‘gilakan kuasa memerintah’ dengan bahasa kiasan boleh mengguris ribuan penyokong PAS yang ramainya terdiri daripada golongan alim ulama.

“PAS sanggup hilang kuasa demi Islam, sanggup kalah juga demi islam, tetapi PAS tidak sanggup menggadaikan Islam demi kepentingan politik sempit bagi meraih kemenangan dunia yang seketika!” tegasnya.

YDP Yadim dicabar buktikan hudud sebenar

1 ulasan:

tungkaran hati.blogspot berkata...

Selepas ini PAS akan menjelajah seluruh Malaysia membawa Tazkirah dan ceramah tentang Hudud yang dikatakanya dihalang oleh UMNO.....
Kalau PAS beria sangat nak laksanakan HUDUD, lakukanlah sebagai permulaan mungkin di Kelantan & Kedah. Kenapa sehingga sekarang tidak laksanakan.
Janganlah nantinya PAS hanya `pandai cakap tapi tak reti buat'

Laksanakanlah Hudud sebelum PRU 13, Insyallah PAS akan mendapat kejayaan yang besar!