"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di mana SPRM dalam isu skandal NFC

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Nov: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad mempersoal tiada sebarang siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun laporan sudah dibuat mengenai National Feedlot Corporation (NFC) dengan menamakan individu tertentu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kenapa sampai hari ini belum ada tindakan daripada SPRM?

“Jika isu ini melibatkan Pakatan Rakyat, sudah tentu awal-awal lagi kita sudah disiasat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, skandal NFC itu membuktikan kegagalan transformasi Najib yang ingin memerangi ketirisan.

"Ini satu skandal yang boleh menjatuhkan menteri apa lagi bila diberi kepada suami dan anak.

"Apa lagi yang ingin dipertahankan sedangkan Ketua Audit Negara laporkan demikian.

"Najib hilang wibawa dan kelayakan untuk bawa reform yang katanya untuk menentang ketirisan," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Wanita dan Pengarah Strategi PKR, Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan ingin merujuk kepada laporan beberapa media yang tersiar berhubung dengan www.sprm.gov.my National Feedlot Corporation (NFC) mengesahkan bahawa satu aduan telah diterima daripada orang ramai berhubung dengan isu pembelian kondominium mewah bernilai RM 9.8 juta yang dikatakan menggunakan wang NFC.

Aduan ini telah dirujuk kepada Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan SPRM dan setelah diteliti aduan tersebut, bahagian itu telah mengaklasifikasikan aduan tersebut di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM 2009).

Sehubungan itu SPRM telah diminta merujuk aduan tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM 2009.

Tindakan telah diambil dengan merujuk aduan ini kepada pihak PDRM.

Pengadu telahpun dimaklumkan berkenaan keputusan tersebut dan beliau bersetuju dengan tindakan SPRM.

Tiada ulasan: