"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih 3.0: Semakin banyak polis bercakap semakin benci rakyat kepada polis

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Semakin banyak polis membuat kenyataan mengenai Bersih 3.0, semakin membara kemarahan rakyat, kata Timbalan Presiden Mohamad Sabu.


"Kita tahu, tujuan mereka hendak buat 'damage control' atau hendak kawal kemusnahan imej Umno dan polis sendiri.

"Baguslah, cakaplah banyak-banyak dan tulislah banyak-banyak tak kiralah dalam TV atau di mana-mana sekalipun.

"Lagi banyak mereka cakap, makin berapi-api kemarahan rakyat," katanya.

Menurut Mohamad, pihak penganjur Bersih 3.0 tidak perlu menerangkan apa-apa kerana pelbagai gambar dan rakaman kejadian serta pelbagai pengakuan rakyat biasa yang menyertai himpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu menerangkan segala-galanya.

"Permohonan maaf Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) kepada jurugambar Malay Mail (Muhammad Arif Kartono) sekali lagi membuktikan pembohongan media-media Umno yang terang-terang dan secara bertulis menuduh peserta perhimpunan Bersih yang pukul jurugambar itu," katanya.

Mengenai dakwaan Ismail bahawa penggunaan air berkimia terhadap peserta Bersih 3.0 cara yang "paling kurang menyakitkan", Mohamad menjemput Ketua Polis Negara itu berada di barisan hadapan perhimpunan rakyat yang diserang meriam air polis apabila beliau bersara nanti.

"Bila dia pencen nanti, bolehlah kita ajak Ismail berdiri di hadapan sekali bila polis serang dengan perhimpunan kita dengan meriam air. Tak ada apa-apa, sakit sedikit sahaja.

"Kalau kelonsong gas pemedih mata kena kepala pun tak mengapa sebab rasa dia macam keropok kelonsong ais krim," Mohamad menyindir.

Beliau mempersoalkan, adakah selepas ini Ketua Polis Negara akan mendakwa tindakan polis mengganasi peserta perhimpunan aman itu juga "yang paling kurang menyakitkan"?

"Polis pukul orang, pijak, tendang, terajang mereka yang tidak lagi berhimpun, orang yang berada dalam perkarangan masjid hendak bersolat ketika azan sedang dilaungkan, sedang berjalan hendak pulang, hendak naik kenderaan awam, sedang makan dan minum di restoran-restoran dan di gerai-gerai, adakah Ketua Polis Negara hendak kata itu semua yang paling kurang menyakitkan?" beliau mempertikaikan.

Mengenai ancaman polis hendak memburu mereka yang didakwa sebagai "perusuh Bersih 3.0", Mohamad yakin jika orang yang tidak bersalah yang ditangkap dan dianiaya, ia akan menambahkan lagi kemarahan dan kebencian orang ramai.

"Rakyat tahu, hampir semua orang tahu, ada anggota pasukan tertentu yang sengaja ditugaskan untuk mencetuskan kekecohan dan menghuru-harakan keadaan. Tangkaplah mereka sama kalau betul ikut undang-undang.

"Tak perlulah pura-pura tak tahu atau hendak tunjuk pandai dalam kebodohan yang sangat ketara di mata rakyat. Rakyat sudah lama tahu kerja jahat mereka,"katanya.

Mohamad juga yakin apa yang berlaku yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008 lalu akan berulang.

"Menjelang pilihan raya 1999, TV dan media pro-Umno menggila habis-habisan menunjukkan rakaman dan gambar penunjuk perasaan yang digambarkan ganas.

"Bila tiba pilihan raya, hanya kira-kira 35 peratus sahaja orang-orang Melayu mengundi Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Taktik yang sama juga, katanya, digunakan menjelang pilihan raya 2008 dengan menggunakan rakaman dan gambar-gambar dalam perhimpunan Bersih 1o November 2007.

"Akhirnya, hadiah kepada Umno kerana menggunakan taktik lapuk itu ialah ia kehilangan empat lagi negeri selain Kelantan yang gagal dirampasnya walaupun mencuba bersungguh-sungguh," kata

Mohamad bagaimanapun tidak hairan jika Umno mangulangi lagi taktik dan kebodohan yang sama.

"Mereka sudah tidak tahu buat apa-apa lagi untuk menahan gelombang kebangkitan rakyat.

"Satu-satunya cara mereka tahu ialah bertindak ganas ke atas rakyat yang menolak mereka," katanya.

Beliau yakin, keganasan yang memangsakan rakyat dengan kejam itu akan menghukum Umno dan BN dengan lebih teruk.

Tiada ulasan: