Anggota polis yang memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan dengan beberapa peserta perhimpunan BERSIH 3.0 mendakwa beliau tidak berapa sedar ketika insiden itu berlaku semalam.
Anggota berkenaan, Mohamad Kamil Paimin berkata beliau "keliru" setelah kehilangan banyak darah akibat dipukul di bahagian kepala dengan objek keras.
Ditemui pemberita di katil wad di Hospital Kuala Lumpur hari ini, Mohamad Kamil (kiri) berkata beliau kemudiannya tidak sedarkan diri dalam kejadian tersebut hanya sedar semula ketika selepas menerima rawatan.
"Saya tak tahu apa berlaku. Saya sedar-sedar saya dah ada di sini (HKL). Tapi yang saya pasti, kepala saya diketuk dengan objek keras," katanya.
Mohamad Kamil mendakwa, beliau yang dalam perjalan ke Dataran Merdeka daripada Pusat Latihan Polis itu sebelumnya diserang oleh peserta perhimpunan.
Katanya, beliau tidak melalui jalan alternatif kerana tidak mahir dengan selok belok jalan di Kuala Lumpur.
"Saya tak tahu situasi jalan di situ kerana saya orang luar. Saya dari Kuala Terengganu," katanya.
Turut ditemui di hospital berkenaan ialah jurukamera stesen televisyen TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh, 28, yang turut terlibat dalam insiden berkenaan.
Katanya beliau melihat bahawa pemandu kenderaan polis itu sudahpun tidak sedarkan diri dan kenderaan itu terbabas sehingga melanggar orang awam.
Mohd Azri (kanan) kemudiannya bertindak menghalang peserta perhimpunan tersebut daripada terus memukul anggota tentera yang tidak sedarkan diri itu.
"Saya pun manusia. Saya fikir, manusia sesama manusia. Pegawai itu sudah tidak sedarkan diri. Jadi saya nak halang. Saya cuba nak tolong apa yang mampu.
"Yang saya sedar, ada yang pukul pakai topi keledar. Saya masa itu tutup mata dan mengambil langkah meronta supaya dapat lepaskan diri. Masa saya larikan diri, baru saya sedar yang kepala saya dah berdarah.
Mohd Azri juga berkata, beliau masih lagi belum memikirkan sama ada mahu membuat laporan polis atas insiden yang menimpanya.
"Saya menerima sembilan jahitan di luar dan enam jahitan di dalam di bahagian kepala... Saya akan fikirkan sama ada mahu membuat laporan polis atau tidak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan