Tarmizi Md Jam
KETIKA penyanyi bersuara lunak, Wan Aishah Wan Ariffin mengisytiharkan dirinya bersama PAS dalam ceramah sulongnya pada 4 April lalu, di Markas Tarbiyah PAS Pusat, sebenarnya beliau masih belum mengisi borang menjadi ahli PAS.
Aishah terpanggil untuk berjuang, kerana di hadapannya terlalu banyak kebobrokkan yang dilihatnya sendiri, apatah lagi yang “menimpa” dirinya, telah benar-benar menyedarkan dia tentang peri pentingnya mengambil tahu hal-hal politik dalam negara tercinta ini.
Akibat bimbang negara akan punah dan akidah anak-anak muda tidak terjaga, maka Juara Lagu 1990 dengan lagu terkenalnya “Janji Manis Mu” itu, kini Aishah bertekad berjuang bersama-sama PAS bagi menyelamatkan masa depan anak bangsa.
Gementar juga Aishah berceramah di hadapan lebih 1,000 hadirin, bisik dia seusai ceramah.
Terdapat beberapa peristiwa yang dilihat oleh beliau sendiri tentang gelagat para pemimpin Umno-BN menyebabkan beliau berfikir jauh, dan dalam masa yang sama sebagai seorang ibu, beliau mahu akidah anak-anaknya terjaga.
Aishah yakin kesedaran masyarakat bandar begitu tinggi untuk mengubah kerajaan yang ada, tetapi dia bimbang, informasi tidak sampai ke desawan dan ini menyebabkan perubahan tidak berlaku. Sudah tentulah ramai yang bertanya, bagaimana Aishah yang masih popular, seorang wanita dan ibu tunggal mahu menjadikan PAS sebagai wadah perjuangannya?
Tidakkah ini akan menimbulkan masalah kepada beliau? Aishah nampaknya kelihatan tenang dan sudah bersedia berdepan dengan sebarang dugaan mendatang.
Berceramah bersama pelawak, pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman pada malam itu, Aishah berkata, sudah agak lama dia berfikir untuk terjun bersama-sama PAS, tetapi sekarang baru dia membuat keputusan itu.
Saya hanya mengundang Aishah, jika dia ada kelapangan untuk berceramah pada 4 April itu. Bukan nak bercakap soal politik, tapi berkongsi pandangan tentang pahit manis kehidupan yang beliau dilalui.
Tetapi malam itu, Aishah bercakap politik dan itulah kali pertama dia berceramah politik atas pentas PAS. Ramai juga yang terkejut.
“Kalau ibu saya masih ada, tentu dia terkejut dan marah. Macam mana saya boleh berceramah atas pentas PAS seperti malam ini,” ujar beliau.
Aishah memberitahu, pelbagai kecaman ditulis pada dinding Facebook beliau kerana memilih PAS sebagai medium perjuangan, tetapi ini akan menguatkan lagi untuknya istiqamah pada jalan dakwah.
Kini, Aishah ligat berceramah di seluruh negara. Dia memberitahu saya, diari April sendat, Mei pula sudah penuh.
Seorang pemimpin PAS Parit, Perak, Cikgu Razak Mat Taha SMS saya, lebih 3,000 hadir di Kg Layang-Layang Kiri mendengar ceramah penyanyi ini, Sabtu 21 April lalu.
Saya mendapatkan tarikh senggang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima borang itu daripada Aishah. Setelah ada tarikh, saya memujuk Aishah isi borang PAS dan serah kepada MB Kelantan itu nanti.
Tuan Guru setuju menerima borang Aishah jadi ahli PAS pada Jumaat, 11 Mei ini, dalam ceramah perdana Rapat Rakyat Ke Putrajaya.
Turut sama nanti Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmood dan bekas Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Chua Jui Meng di Markas PAS Pusat, Taman Melewar, jam 9.30 malam.
1 ulasan:
takdak berita lain ka? dia ni sapa?
Catat Ulasan