"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha Politik Najib Kena Boikot Di Hari Penamaan Calon

Shahbudin Husin
Di Wilayah Persekutuan, antara kerusi yang menarik perhatian ramai ialah Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini menjadi rebutan antara UMNO dan MCA. Bahkan sebaik Najib mengumumkan kerusi itu ditandingi oleh UMNO, MCA Wangsa Maju bingkas memprotes dan menyifatkan ianya tindakan yang membelakangkan perjuangan mereka selama ini.
Serentak dengan itu, MCA Wangsa Maju juga menyatakan akan memboikot calon BN Wangsa Maju, Shafie Abdullah dan akan memberi sokongan kepada calon PKR, Tan Kee Kwong. Tindakan MCA Wangsa Maju itu juga dikatakan akan disertai oleh 120 NGO dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju yang selama ini sering bekerja rapat dengan MCA.

Calon MCA 2008 Yew Teong Look yang turut kecewa dengan keputusan Najib itu, tambahan pula kerana sudah berhabis RM2.5 juta sejak empat tahun lalu berkata, siapa yang menjadi pilihan penyokong-penyokongnya selepas ini bukan lagi di dalam kawalannya.
Dengan pendirian MCA itu, jelas bahawa jalan yang bakal dilalui oleh Shafie penuh onak dan berliku. Ini kerana pengundi Cina di Wangsa Maju meliputi kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi. Tanpa sokongan yang sewajarnya daripada pengundi Cina, Shafie pasti akan kalah.

Sementara trend pengundi Cina memang memihak kepada PR, tindakan boikot yang dilakukan oleh MCA Wangsa Maju ini tentunya menambahkan lagi penolakan mereka terhadap BN.

Di hari penamaan calon hari ini, MCA Wangsa Maju telah membuktikan kata-katanya untuk memboikot calon BN, Shafie Abdullah. Tidak ada seorang pun wakil MCA yang hadir mengiringi beliau ke pusat penamaan calon, bahkan bilangan orang Cina yang hadir juga boleh dibilang dengan jari.

Agak mengejutkan juga, Shafie yang selama ini mendakwa mendapat sokongan majoriti orang Melayu Wangsa Maju, turut gagal menampilkan hakikat tersebut di hari penamaan calon ini, Beliau hanya diiringi oleh kira-kira 1500 penyokongnya sahaja.

Husam Musa, orang Kelantan yang bertanding di Putrajaya pun diiringi oleh 3000 penyokongnya ke pusat penamaan calon.

Sebagai Setiausaha Politik kepada Najib pula, kegagalannya beliau menarik jumlah penyokong yang lebih ramai di hari penamaan calon ini, biasanya antara 3000 hingga 5000 orang, memberi gambaran bahawa orang Melayu Wangsa Maju tidaklah bulat terhadapnya sebagaimana yang digembar-gemburkan selama ini.

Lebih-lebih lagi, Shafie yang membawa imej Perdana Menteri di Wangsa Maju dilihat seolah-olah gagal menampilkan auranya bukan saja untuk membuatkan pengundi menyokongnya tetapi juga menyokong BN yang kini diterajui oleh Najib.

Dengan hanya 1500 yang hadir pada hari penamaan calon yang memberi gambaran pengundi Melayu tidak cukup tertarik dengannya, UMNO Wangsa Maju pula berpecah-pecah dan MCA serta pengundi Cina kekal dengan pemboikotannya, bayang-bayang kemenangan pada 5 Mei ini masih jauh daripada gapaian BN Wangsa Maju.(SH 20/04/2013)

Tiada ulasan: