Umno menyingkirkan seramai 61 orang anggotanya, termasuk timbalan ketua sayap Wanita Datuk Kamilia Ibrahim dan penyanyi pop 80-an Herman Tino, atas kesalahan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum 5 Mei.
Lidah parti berkenaan, Umno Online menyebut, individu yang dipecat itu tidak akan diterima semula ke dalam Umno untuk selama-lamanya.
Laporan organ tersebut memetik kenyataan pengerusi jawatankuasa khas lembaga disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen yang berkata, keputusan itu dibuat mengikut fasal 201.10 perlembagaan parti itu.
“Surat-surat pemecatan keahlian yang telah ditandatangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin telah dihantar pada hari ini juga untuk dimaklumkan secara rasmi kepada mereka yang terlibat,” katanya seperti dipetik laman berkenaan.
Kamilia menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan juga calon PAS, Idham Lim dalam pertandingan untuk merebut kerusi Kuala Kangsar.
Herman, atau nama sebenarnya Masrun Tamsir pula menentang ketua bahagiannya Datuk Seri Noh Omar yang mewakili kerusi Tanjong Karang selama empat penggal sejak 1995.
Seorang lagi pencabar di kerusi tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, yang juga bekas guru, Mohamad Rashdi Deraman, 49.
Selain itu, Umno turut menyingkirkan bekas timbalan menteri pertanian Datuk Seri Mohd Shariff Omar, yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor.
Ketua pemuda Umno Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang bertanding kerusi Parlimen Sepang juga disingkirkan.
Selain itu, Umno juga akan memanggil anggotanya yang menjadi pencadang dan penyokong calon terbabit, serta individu yang gagal menyerahkan borang pencalonan selepas diberi tanggungjawab untuk bertanding.
Tindakan itu diambil mengikut fasal 20.9 perlembagaan parti berkenaan menurut laporan Bernama.
Jumlah 61 orang anggota Umno itu merupakan lebih 20 peratus daripada sejumlah 270 orang calon bebas dalam pilihan raya kali ini – jumlah yang dianggap paling besar dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Sejumlah besar dari Umno itu tetap bertanding sebagai calon bebas walau diberi amaran berkali-kali oleh pucuk pimpinan parti sejak perhimpunan agung parti itu berlangsung akhir tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan