Subky Latif
MEMANG senang pak-pak pembesar baik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan penyokong-penyokong Umno yang di belakangnya berkata: "Siapa yang tidak puas hati dengan keputusan PRU13, kemuka petisyen di mahkamah."
Memanglah mahkamah itu selamanya tempat orang yang tidak puas hati mengadu. Tetapi mahkamah juga boleh dijadikan tempat melonggokkan segala pemalsuan dan penyelewengan.
Adakah saranan pembesar SPR supaya sekalian yang tidak puas hati dengan tingkah lakunya mengendalikan pillihan raya mengadu ke mahkamah itu sebagai satu tindakan keadilan atau ia satu langkah melepaskan diri daripada segala penyelewengannya mengendalikan pilihan raya sebelum dan semasa mengundi?
Persepsi semua yang memberi undi popular kepada Pakatan Rakyat ialah SPR berdegil sepanjang masa adalah bagi menjamin mengekalkan kuasa Umno-BN menguasai Putrajaya dengan apa cara sekalipun.
Maka ia akan melakukan apa saja bagi memalsukan keputusan pilihan raya dengan menggunakan dalih jika SPR cabul mengapa PAS boleh menang di Kelantan dan DAP boleh di Pulau Pinang serta BN yang dipimpin Najib boleh kalah teruk di Selangor?
Bukan semua penipuan SPR dan Umno berjaya. Yang BN boleh dikalahkan di mana-mana itu bukan kerana ia tidak melakukan penipuan di situ, tetapi itu adalah penipuannya yang tidak berjaya. Ia tidak berjaya di Kelantan sejak tahun 1990, tetapi ia telah berjaya di Kedah, Terenggau dan lain-lain. Begitulah selama-lamanya.
Maka buat PRU13 yang lalu selain daripada SPR memekakkan segala bantahan pelanggannya tentang kelemahannya, maka ia boleh melaku dan menyetujui memalsukan keputusan pilihan raya di mana yang boleh supaya BN terus berkuasa dan Perdana Menteri Najib Najib mengekalkan jawatannya.
Senjata besarnya ialah berdalih mengadulah kepada mahkamah jika tidak puas hati.
Maka dipercayai dengan memadamkan lampu di dewan penjumlahan undi ketika undi rancak dijumlahkan dapat mengubah keputusan terutama di kawasan yang BN sudah hampir kalah.
Tidak semestinya bekalan kuasa rasmi terputus di kawasan berkenaan, tetapi pasukan penyeleweng yang dirancang boleh memadamkan lampu di bangunan tertentu dalam masa beberapa saat dan minit, cukup bagi pasukan pengkhianat berbuat sesuatu durjana.
Mungkin petugas SPR di lokasi tertentu tidak tahu menahu taktik itu, tetapi hantu-hantu di belakang SPR boleh bersepakat menyelewengkan sesuatu.
Sekurang-kuangnya antara 25 hingga 35 keputusan Parlimen boleh dipalsukan dan anggaran yang sama boleh diterima pakai bagi Dun-Dun.
Dengan pemalsuan itu BN boleh diselamatkan dengan majoriti yang mudah. Dengan keputusan yang demikian Pakatan Rakyat terhalang menguasai Putrajaya. Jika tidak dicurangi begitu, maka perubahan sudah dijangka berlaku.
Apabila ini berlaku, tiada cara bagi yang membantah penipuan itu melainkan mengadu kepada mahkamah. Sebelum mahkamah membuat keputusan kerajaan lama boleh meneruskan kuasanya untuk sekian lama. Macam-macam ia boleh buat.
Ia meneruskan harga minyak yang tidak pernah dijanjikannya dalam Akujanjinya untuk menurunkannya, ia boleh mengekalkan royalti minyak bagi Sarawak dan Sabah sebanyak lima peratus dan mengekalkan wang ihsan untuk Terengganu dan memberi ihsan pada Kelantan. Tidak perlu Petronas memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri berminyak.
Tidak ada keperluan lagi untuk membatalkan tol dan rakyat tidak berfikir lagi untuk membeli motokar dengan harga yang murah.
Paling gembira ialah sekalian kroni termasuk Dr Mahathir Mohamad. Mereka tidak akan dipanggil untuk ditanya tentang projek yang mereka perolehi. Tidak lagi mereka bimbang untuk sementara waktu harta karun yang dianugerah kepada mereka akan diminta balik oleh kerajaan baru.
Mahkamah dijangka mengambil masa sehingga enam bulan bagi menyelesaikan semua petisyen pilihan raya. Kalau semua petisyen itu berjaya, kerajaan sekarang ada masa enam bulan lagi untuk membuat apa yang hendak dibuat. Ertinya BN telah mengambil masa lebih enam bulan dari penggal lima tahun tempoh kerajaan baru.
Anak Dr Mahathir ada masa enam bulan lagi untuk memborong minyak murah daripada Petronas bagi meneruskan urus niaga minyaknya.
Biasanya keputusan SPR tentang PRU hampir muktamat. Tidaklah mudah keputusan itu hendak dirombaknya. Ada yang dibatalkan oleh mahkamah tetapi payah mendapati ia dibatalkan.
Bukanlah mudah bagi petisyen untuk memenanginya. Sekalipun ia boleh berjaya tetapi ia terpaksa berbelanja besar untuk memenangi perbicaraan. Tidak ada sebab perbelanjaan besar itu hendak disediakan jika keputusan pilihan raya itu tidak dipalsukan. Jika petisyen itu kalah maka hanguslah segala perbelajaan yanag dikeluarkan.
Itulah risiko yang terpaksa dihadapi oleh pihak yang tidak puas hati. Adalah benar melallui mahkamah keadilan dapat diperolehi, tetapi jika boleh orang tidak mahu pergi ke mahkamah kerana keadilan boleh diperolehi jika semua berjalan secara adil, telus dan bersih.
Jika SPR itu bersih dan adil, keadilan dapat dinikmati tanpa pergi ke mahkamah. Mahkamah hanya berguna jika berlaku ketidak-adilan. Dan seelok-elok ia diguna untuk perkara yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh diselesaikan melalui cara yang normal. Bukan mahkamah itu tempat melambakkan segala masalah yang diada-adakan.
Semua tahu bahawa mahkamah kita telah dibebankan oleh kes-kes yang tertangguh. Dengan penipuan yang dirancang melalui pilihan raya itu, maka kita tidak adil dengan mahkamah dengan menambah bebannya yang sdah sedia ada. Tidakkah SPR boleh dilihat menambah kerja mahkamah?
Gara-gara ketempangan SPR itu rakyat sudah hilang peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih murah. Minyak murah, barang murah, motokar murah, bebas tol dan bebas saman ekor.
Kerana keputusan pilihan raya yang demikian; rakyat terpaksa membeli roti 30 sen lebih daripada sebelum pilihan raya. Rakyat sudah menunggu ancaman cukai GST yang boleh dilaksanakan bila-bila masa.
Tidak banyak yang sedar tentang kenaikan harga barang selepas pilihan raya. Menteri Kepenggunaan tidak membeli barang runcit harian. Dia menunggu apa yang dilaporkan oleh pegawai saja. Yang barang naik harga ialah orang setiap hari ke pasar.
Seorang peniaga runcit memberitahu, dia berbelanja sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sehari untuk melengkapkan barang-barang di kedainya. Selepas pilihan raya dia terpaksa berbelanja RM3,000 sehari untuk melengkapkan barang yang serupa.
Maka bagaimana dia hendak menjual barang-barang dengan harga yang serupa dengan harga sebelum pilihan raya? Cili hidup sudah tidak dapat dibeli dengan harga dulu. Pilihan pelanggan sama ada mengurangkan jumlah butir cili yang dibeli atau membelinya dengan harga baru yang tentunya sudah dinaikkan.
Tiada cara selain daripada mengadu juga ke mahkamah, mahu atau tidak mahu. Kita ke mahkamah dengan harapan mahkamah itu mahkamah di zaman Umar Al-Khatab, Ali Abu Talib dan tokoh lain. Tetapi kalau imej sistem kejaksaan kita sama dengan imej SPR, polis di bawah BN dan jabatan peguam negara di bawah BN, maka langkah pergi ke mahkamah itu semata-mata untuk menyatakan tidak puas hati tetapi tidaklah sangat untuk mencari keadilan.
Semuanya tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang penuh dengan krisis keyakinan. Mahkamah tidak dapat membaiki krisis keyakinan ini, tunjuk perasaan juga tidak dapat membetulkan keadaan. Majlis Fatwa pun tidak dapat buat apa-apa. Istana pun dalam keadaan yang tak tahu hendak buat apa. Krisis itu hanya dapat dibetulkan melalui pilihan raya. Sedang kita tahu pilihan raya dikendalikan oleh satu sistem yang pincang juga.
Maka apa harapan membaikinya? Harapannya ialah SPR juga gagal dalam penipuannya seperti yang terjadi di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor serta Wilayah Persekutuan. Apabila penipuan itu gagal di semua tempat, dan gagal dalam semua jenis penipuan dan penyelewengan, barulah keadilan itu dapat ditegakkan. Bukan ke mahkamah. Mahkamah tidak dapat buat semua. Ia jadi tempat SPR berdalih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan