Harakahdaily
(Serangan di Masjid Qaid Ibrahim, Iskandariah malam tadi yang menyaksikan 7 terkorban)
MESIR: Ikhwan Muslimin mengecam tindakan 'double standard' pihak tentera yang menyerang penyokong Morsi dibeberapa kawasan awal pagi tadi sehingga mengakibatkan puluhan lagi terkorban.
Sebaliknya, penyokong Al-Sisi yang diarah berkumpul di Dataran Tahrir diberi layanan lima bintang.
Pemimpin Ikhwan, Dr.Mohammed El-Beltaji dalam temubual secara langsung sebentar tadi dengan stesen Al-Jazeera berkata, pihaknya tidak akan berganjak biarpun berdepan pelbagai ancaman.
"Kami bangga menjadi antara mereka yang dipilih untuk berkata "Tidak" kepada perampas kuasa.
"Kami diperlakukan begini sedang penyokong As-Sisi dan tentera di Tahrir dijamu dengan makanan yang disediakan oleh pasukan tentera dengan biayai wang rakyat, dicetak poster dan diedar gambar Sisi dan dijaga keselamatan mereka oleh polis sedang kami 'dihujani' dengan peluru hidup menjelang sahur tadi," katanya ketika ditemubual di Hospital Raba'ah pagi tadi.
Dalam kejadian menjelang sahur pagi tadi, kumpulan penyokong Morsi di hadapan Universiti Azhar, Jalan Austorad, berhampiran Kubur Anwar Sadat diserang dengan peluru hidup.
(Samseng upahan mengepung Masjid Qaid Ibrahim, ratusan penyokong Morsi terperangkap)
Sekurang-kurangnya 10 telah dilaporkan terkorban termasuk lebih 300 lagi cedera. Angka korban dijangka terus meningkat ekoran ramai mengalami cedera parah.
"Jika anda melihat, lokasi himpunan kami di Raba'ah ini terletak tidak jauh dengan Pejabat Perisikan Perang Askar, bersebelahan ini bangunan Unit Kewangan Majlis Tentera, hanya beberapa meter terletaknya Bilik Operasi Majlis Tentera.
"Jika kami inginkan keganasan sudah lama kami kepung dan ceroboh bangunan-bangunan tentera tersebut dengan jumlah kami yang mencecah jutaan tapi kami tidak lakukannnya. Sudah hampir 30 hari kami berhimpun, jika kami inginkan keganasan maka hari pertama kami berhimpun sudah kami rempuh bangunan milik tentera ini," katanya lagi.
Sementara itu, seorang doktor perubatan yang bertugas di Hospital Raba'ah, Dr.Hisyam Ismail melalui Al-Jazeera sebentar tadi berkata, setiap detik akan tiba di hospital itu mangsa yang cedera dan sehingga kini sudah 700 orang.
7 terkorban di Iskandariah
Dalam perkembangan berkaitan, tujuh lagi penyokong Morsi terkorban dalam serangan di Masjid Qaid Ibrahim di Iskandariah malam tadi.
Difahamkan, polis mengepung peserta yang berada di dalam masjid sebelum melepaskan gas pemedih mata.
Menurut web Ahram, pasukan tentera menembakkan gas air mata di sekitar lokasi himpunan untuk menyuraikan para peserta himpunan.
Dalam kejadian itu,seorang kanak-kanak 14 tahun didakwa turut terkorban akibat ditusuk dengan senjata tajam di perutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan