"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bank ‘kejar’ pengendali AES

PETALING JAYA: Ketika mana pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih berdepan dengan pelbagai masalah dan rintangan, bank-bank sedang mengejar dua syarikat pengendali, Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat ini dikejar oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai berjumlah jutaan ringgit, lapor The Edge.

Mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan, tanpa gangguan.

Mereka sepatutnya menyediakan perkhidmatan itu kepada JPJ sejak bulan September lalu sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.

Menurut sumber, sebuah bank komersial terkemuka, mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman.

Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.

Carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.

Jumlah saham modal yang dikeluarkan Beta Tegap ialah sebanyak RM19 juta. Empat pemegang saham syarikat ini terdiri daripada Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed, Yap Kim See@Yap Ai Lin, Rozana Redzuan dan Adreas Teoh.

Rozana ialah pemegang saham terbesar dan beliau adalah anak kepada seorang tokoh Umno dari negeri Johor.

Sementara kedudukan kewangan ATES tidak diketahui kerana syarikat itu hanya menghantar akaun sehingga Mei tahun lalu. Para pemegang sahamnya ialah pengarah syarikat Chee Chwee Cheong dan A.T.E.S. Sdn Bhd.

Selain dari Chee, pengarah lain ATES ialah Lawrence Foong, yang merupakan bapa mertua Chee. Chee adalah pengasas syarikat perunding Etos Consulting, di mana Omar Mustapha adalah rakan kongsinya. Omar pula ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dari segi pembahagian kawasan operasi, perkhidmatan Beta Tegap meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Sementara kawasan operasi ATES pula meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Tiada ulasan: