Saja aku carik pasal 'Turbulence' kat internet, tetiba jumpa ni. 'Turbulence' tu ialah gegaran disebabkan pelanggaran awan dan angin yang kuat. Aku dah la selalu menggunakan kapal terbang untuk balik ke kampung halaman, tak sangka tragedi kapal terbang terhempas pernah berlaku di Malaysia dan ianya membuatkan aku cuak jugak.
Pada hari Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan rakyat Malaysia dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.
Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang berlaku 37 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.
Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.
Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat.
Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura. Peristiwa ini mempunyai kisah misteri dan seramnya tersendiri, untuk mengetahui kisah misteri dan seram tersebut, teruskan membaca dengan klik link dibawah ni.
Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.
Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.
Tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) secara konsesi dan dirizabkan sebagai zon bebas aktiviti manusia. Paya yang hangus dan menjadi saksi kepada 100 jiwa yang terkorban itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder.
Peristiwa Misteri dan Seram
Bagaimanapun, kejadian itu terus mewujudkan pelbagai andaian, cerita dan kenangan. Pelbagai cerita aneh turut diceritakan pelbagai pihak selepas kejadian itu. Antaranya, kisah seorang pemandu teksi mengambil penumpang wanita muda bersama seorang anak kecil di kampung itu, tidak jauh dari kawasan kemalangan. Penumpang berkenaan meminta dihantar ke Jalan Kebun Teh iaitu tanah perkuburan khas bagi menempatkan mangsa tragedi.
Apabila sampai di situ, wanita itu meminta keluar sebentar untuk menziarah makam dengan menumpangkan anak kecilnya di tempat duduk hadapan teksi. Bagaimanapun, sebaik berpaling melihat wanita itu berjalan ke arah makam, anak kecil di sebelah tempat duduknya bertukar menjadi batu nisan dan wanita itu turut ghaib.
Sehingga kini, tidak ada pokok termasuk pokok bakau dapat hidup di kawasan kapal terbang terhempas itu. Ketua Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Abu Bakar Mohd Ali (gambar), 58, berkata beliau masih teringat kira-kira lima hari selepas kejadian, dia menerima kedatangan seorang pelanggan, seorang anggota polis hutan yang membeli barangan keperluan di kedai runcitnya. Beliau berkata, ketika itu, dia perasan, wang yang digunakan untuk membeli barangan adalah wang kertas RM5 yang banyak ditemui di lokasi kemalangan serta berbau darah.
“Saya mengesyaki wang berkenaan milik mangsa yang terbabit dalam nahas itu. Saya mencium wang berkenaan untuk memastikannya selepas pelanggan berkenaan meninggalkan kedai dan saya yakin ia berbau darah,” katanya.
Abu Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur semalaman.
“Bagaimanapun apa yang menakutkan ialah bayangan lembaga hitam mengganggunya sehingga dia berasa seolah-olah ada benda berat menindih badannya. “Saya tidak dapat melihat dengan jelas lembaga hitam itu sama ada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, saya percaya ia disebabkan saya menerima wang milik mangsa kemalangan berkenaan.“Kejadian itu menyebabkan saya menjadi seperti tidak tentu arah dan sentiasa terperanjat hampir seminggu,” katanya.
Seorang nelayan, Sulaiman Othman, 58, berkata kawasan nahas berkenaan berhampiran sebuah pangkalan nelayan. Katanya, dia sering berulang-alik di kawasan itu termasuk pada hari kejadian apabila turun ke laut untuk menangguk udang kira-kira jam 7.30 malam bersama dua lagi rakan.
“Kira-kira jam 8.45 malam, kami terdengar bunyi bising. Pada mulanya, kami ingat bunyi kapal terbang Singapura menjalani latihan. Bagaimanapun, bunyinya pelik dan berdesing seperti wisel. “Tidak berapa lama kemudian, kami melihat sebuah pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi dentuman sebelum satu letupan kuat dan api menjulang beberapa puluh meter ke udara,” katanya.
Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pelbagai dokumen dan barangan turut tercampak ke laut.
“Saya amat terkejut dan bersama seorang rakan kembali ke darat untuk melihat apa yang terjadi. Saya dapati pelbagai barangan bersepah berhampiran tempat kejadian seperti pakaian, makanan, kertas dan sebagainya. “Kami juga melihat satu daripada sayap kapal terbang berkenaan tercacak pada benteng manakala tayar di kawasan bakau. Selain itu, banyak wang kertas RM5 turut ditemui bertaburan di atas tanah serta perut manusia. “Semua mayat sudah hancur dan tidak lagi kelihatan bentuk. Apa yang kami dapat lihat ketika itu hanya gumpalan daging saja,” katanya.
Beliau yang dipercayai penduduk kampung pertama sampai di tempat kejadian mendakwa menemui ikan kurau kering masih elok di dalam sebuah bakul yang biasa dibawa masyarakat Cina pada masa itu. Katanya, tidak lama kemudian, satu helikopter dari Singapura sampai di tempat kejadian dan mula menyuluh ke tempat kejadian.
“Mereka juga mengikuti pergerakan kami di lokasi berkenaan untuk tempoh beberapa minit menyebabkan kami meninggalkan lokasi berkenaan. “Mungkin mereka menyangka kami antara mangsa terselamat dalam nahas berkenaan,” katanya yang mendakwa tidak lama kemudian berpuluh-puluh ambulans dan jentera bomba datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa nahas.
Sulaiman berkata, tiga hari selepas kejadian, dia memasuki kawasan tragedi dan cuba mengambil sebelah kasut kulit yang ditemui di tempat kemalangan berkenaan.
“Saya sungguh terkejut apabila mendapati ada kaki manusia di dalam kasut berkenaan. Saya juga ada mendengar cerita seorang penduduk kampung mengambil kasut di kawasan kemalangan tetapi terpaksa memulangkan semula apabila tidak dapat tidur,” katanya.
Bagaimanapun, Sulaiman dan Abu Bakar kesal kerana janji untuk membina peringatan di atas kawasan nahas berkenaan tidak ditunaikan. Kawasan itu kini diambil alih dan menjadi sebahagian tanah milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).
Tugu Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru itu telah dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang.
Sumber : Pengalamanituguruterbaik, Anak Jati Muar
5 ulasan:
X dinyatakan bhwa ianya dihijacked...
Alfatihah utk mgsa2
My father, Arwah Nasir, was a passenger on the flight MH653.... I was five at the time.... This article is powerful and important.
Sya lahir pd 12.11.1977.mukim tg .kupang . ucapan takziah pd waris mngsa..
Sya lahir pd 12.11.1977..mukim tg kupang.ucapan takziah buat waris mngsa..
Sejarah....
Catat Ulasan