Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: Pemuda PAS Perak terkejut dengan sikap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang melenting secara tiba-tiba dan marah apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyentuh isu ‘Raja Bomoh’ walaupun tiada sesiapa yang mengaitkan Zambry dengan ‘Raja Bomoh’, Datuk Ibrahim Mat Zin yang berasal dari Perak.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, tindakan Zambry itu berlaku ketika ADUN Kawasan Titi Serong, Haji Abu Bakar Hussein yang sedang berucap dan secara tidak langsung Zambry bangun untuk mendapatkan penjelasan.
“Sebenarnya Zambry berpeluang mengulas dan menggulung ucapannya nanti, sebelum sidang DUN tamat pada hari jumaat ini.
“Banyak pihak hairan terutama yang berada di dalam dewan mahupun yang mengikutinya melalui internet,” ujarnya.
Tambah Raja Ahmad, sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Dr haji Harussani Zakaria telah menggesa agar Ibrahim Mat Zin bertaubat kerana telah mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik.
“Zambry adalah seorang yang berpendidikan aliran Islam dan mustahil beliau boleh bersetuju dengan perbuatan Raja Bomoh yang terpesong dengan ajaran Islam,” jelasnya.
Katanya, pihak Pemuda PAS Perak masih menunggu respon ucapan penggulungan, sama ada Zambry bersetuju atau tidak dengan tindak-tanduk Ibrahim Mat Zin.
Raja Ahmad turut mempersoalkan sekiranya tindak -tanduk yang dilakukan oleh Ibrahim Mat Zin di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang telah diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor , bagaimana pula perkara yang sama boleh berlaku di Pulau Sembilan, dekat Bandar Manjung dan apakah tindakah yang akan diambil terhadapnya?
“Kami masih menunggu tindakan susulan terhadap Ibrahim Mat Zin oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK) dan Kerajaan Negeri Perak.
“Malah kami masih menunggu pengumuman Zambry pada hari Jumaat ini, dan menunggu tindakan yang akan dikenakan terhadap Raja Bomoh itu tetapi jika Ibrahim Mat Zin dibebaskan, maka rakyat boleh menilai watak sebenar Zambry yang berlatar belakangkan aliran Islam dan benarlah bahawa Zambry merupakan ‘anak emas’ Harussani,” katanya.
1 ulasan:
Aku tengok video ini. Mana ada Zambry melenting? Beliau bertanya kepada ADUN Titi Serong siapa yang dimaksudkan? ADUN ini tak jawab sebaliknya kata " Saya cakap umum".Ini budaya PAS. Cakap umum kemudian tak berani bertanggungjawab
Catat Ulasan