Anggota polis dan Pasukan Tentera Johor mengawal ketat Mahkamah Rayuan Syariah Johor hari ini yang menjalankan perbicaraan kes perceraian melibatkan keluarga di raja Johor secara tertutup.
Kes tersebut melibatkan permohonan rayuan oleh bekas Sultanah Tuanku Zanariah Tuanku Ahmad terhadap perceraian daripada bekas suaminya, Tuanku Mahmud Iskandar yang dilakukan selepas kematian dan dikuatkuasa pada tarikh beberapa bulan sebelum kematian baginda.
Peguam kepada Tuanku Zanariah, Kamar Ainiah Kamarulzaman berkata beliau dan anak guam serta anak-anak pasangan itu juga tidak dibenarkan memasuki ruang mahkamah, kecuali ketua peguam Afshah Ariffin.
Kamar Ainiah berkata empat orang pegawai tinggi polis, 13 anggota berpakaian seragam dan tujuh orang lagi dipercayai anggota Cawangan Khas juga ditempatkan di luar ruang mahkamah.
"Terdapat juga beberapa ahli polis Unit Tindakan Khas dan juga anggota Tentera Johor," katanya.
"Mahkamah Rayuan Syariah hari ini memastikan kita semua tidak berada dalam mahkamah sebelum mereka memulakan prosiding, kecuali peguam utama," tambah beliau.
Malaysiakini pada hari Khamis lalu melaporkan tiga anggota panel mahkamah mengisytiharkan bahawa prosiding akan dijalankan secara tertutup.
Tuanku Zanariah diwakili oleh peguam utama Afshah Ariffin manakala Kamar Ainiah merupakan peguam undang-undang yang memfailkan permohonan Sultanah.
2 ulasan:
Orang islam sepatutnya tertakluk kpd perundangan mengikut syariat islam, dgn merujuk AlQuran dan Hadis. Ini adalah demi keadilan yg dituntut Allah SWT untuk dilaksanakan.
Dalam dunia bolihlah diadili dengan cara sulit2 akan tetapi INGAT diakhirat yang mengadili,dan yang mendakwa serta yang didakwa tidak dapat berselingdung dari Keadilan yang Sabenar.
Janganlah melampaui menunjuk kuasa Dunia sahingga mengetepikan suruhan ALLAH.Yang lagi terkutuk adalah mengaibkan agama Allah swt dengan konunnya menjaga syariatNYA.
Catat Ulasan