"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah ibu mahu berpindah setelah Tuan Guru jadi MB

WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani mendapat tarbiah secara langsung daripada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana tinggal di rumah Tuan Guru di Pulau Melaka.

Bagi beliau, tarbiah paling hebat yang dilihat sentiasa diamalkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sikapnya yang tidak pernah sekalipun meninggikan suara ke atas ibunya, Minah Majid.

Katanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu patuh dan sayangkan ibunya yang sentiasa bertanyakan perihal makan minum dan kelengkapan ibunya setiap masa.

"Sebelum dan selepas kembali daripada kelas atau tugas, Tok Guru akan bertanya 'mek (panggilan kepada ibu) make doh ko (makan dah ke)' dan ditanya juga segala kelengkapan ibunya walaupun ibunya itu duduk bersama dengannya di rumahnya di Pulau Melaka," katanya yang merupakan anak saudara Tuan Guru.

Beliau menyatakan demikian pada program Bicara Harakah bertajuk Perginya Seorang Murabbi, Terhentikah Perjuangannya? di Harakah Bazaar, Jalan Pahang Barat di sini petang semalam. Turut menjadi ahli panel pada program yang dipengerusikan AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor itu ialah Bob Lokman dan Abby Abadi.

Paling tidak boleh dilupakan beliau, ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz diangkat sebagai Menteri Besar Kelantan setelah kemenangan Pilihan raya Umum 1990, ibu Tuan Guru telah mengemaskan barangannya.

"Mek mengemas barangannya kononnya mahu keluar dari rumah Tuan Guru berpindah ke Pahang di rumah adik Tuan Guru. Apabila Tuan Guru bertanya kepada ibunya lantas ibunya menjawab mahu berpindah kerana bimbang Tuan Guru yang dipanggil dengan gelaran Zik akan berpindah ke rumah besar iaitu rumah Menteri Besar.

"Tuan Guru lantas menjawab 'Zik tidak akan ke mana walaupun Zik dah jadi Menteri Besar, Zik akan jaga Mek'. Dan Tuan Guru mengambil semua barangan yang dikemas ibunya itu untuk diletakkan kembali ke tempat asalnya iaitu di dalam rumah Tuan Guru di Pulau Melaka itu," kata Ustaz Dusuki sambil airmatanya mengalir dan suara garaunya semakin perlahan.

Ustaz Dusuki berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak mahu berpindah dan mahu menjalani hidup seperti biasa walaupun telah bergelar Menteri Besar.

Tiada ulasan: