"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bakar kereta dan pukul: 'Pihak ketiga cuba tingkatkan konflik untuk pecahbelahkan PAS?'

Sesetengah pemimpin PAS percaya bahawa tindakan keganasan terhadap ahli-ahli PAS baru-baru ini adalah satu petanda bahawa ada pihak ketiga yang cuba untuk meningkatkan konflik antara ahli parti itu.
Ahli jawatankuasa pusat PAS, Khalid Samad percaya serangan ke atas rakannya Dr Dzulkefly Ahmad, semalam tidak membabitkan sesiapa dari PAS.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Khalid berkata, beliau tidak percaya ada ahli PAS yang berkelakuan sedemikian.

Sebaliknya, kata beliau, ia boleh jadi kerja pihak ketiga yang cuba untuk meningkatkan konflik antara ahli PAS, terutamanya menjelang pemilihan parti itu.

Katanya, ini kerana "sentiasa ada kemungkinan" wujud gangguan pihak ketiga, terutama sejak debat dalaman parti itu, telah terdedah di media sosial.

Oleh itu, katanya, tidak mustahil ada pihak yang akan mengambil kesempatan daripada keadaan itu.
Pandangan ini juga turut dipersetujui oleh Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, yang berkata ada pihak ketiga yang cuba untuk memecahkan PAS dengan mengambil kesempatan daripada perbezaan pendapat antara ahli parti.

Katanya, beliau tidak menuduh sesiapa, tetapi percaya mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden itu ialah mereka yang mempunyai niat untuk memecah belahkan PAS.

Menurutnya lagi, perbezaan pendapat akan sentiasa wujud dalam mana-mana parti politik.

Sebaliknya, pengarah pilihan raya PAS Hatta Ramli, berharap serangan terhadap Dzulkefly itu, dan juga kejadian keretanya dibakar, tidak ada sebarang kaitan.

"Saya juga berharap ia tidak berkaitan dengan keadaan politik semasa, sama ada dalam negara atau dalam PAS," kata Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Hatta berkata, apabila keretanya dibakar, beliau tidak membuat sebarang rujukan kepada mana-mana situasi politik, tetapi hanya bergantung kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan.

Beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan rapi dan menentukan pelakunya (dalam kes Dzulkefly) bagi meyakinkan semua orang bahawa ia adalah satu insiden terpencil.

Sebelum ini, kereta pacuan empat roda Hatta telah dibakar di hadapan rumahnya bulan lepas oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Dalam insiden terbaru semalam, Dzulkefly diserang oleh individu yang tidak dikenali ketika ia pulang dari solat subuh.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: