Abu Hassan Adam
Aku tidak dapat meramalkan apa akan jadi kepada rakyat Malaysia kini apabila membaca berita-berita dan kenyataan yang disalurkan samada media milik kerjaan atau ‘milik rakyat’, tentang samada mereka semakin cerdik atau semakin keliru atau pun semakin bodoh. Ketika mengunjungi rumah rakan-rakan pada hari raya, seringkali diajukan dengan soalan bertanyakan tentang keadaan negara kini.
Aku tidak dapat mengetahui samada itu merupakan soalan ingin tahu ataupun soalan yang berbentuk keliru dengan keadaan yang melanda negara kini.
Tetapi membaca beberapa kenyataan oleh pemimpin kerajaan tentang beberapa isu yang berkaitan dengan IMDB, Tabung Haji, MARA, Felda seolah-olah mereka menganggapkan semua rakyat Malaysia kini bodoh dan tolol. Mungkin ada dikalangan rakyat yang begitu. Itu tidak dapat dinafikan. Ada golonganrakyat yang betul-betul bodoh ataupun terpaksa menjadikan diri sebagai bodoh kerana ‘kekenyangan’. Mungkin yang masih berada dalam kategori ‘bodoh dan tolol’ disekitar kurang daripada 50% sedangkan yang lain sudah boleh dianggap bijak dan boleh menilai fakta yang mana benar dan yang mana salah.
Justeru sudah menjadi tugas dan peranan rakyat Malaysia yang agak cerdik ini untuk memberikan kesedaran kepada golongan yang masih diselimuti kebodohan dan kelalaian itu. Dan yang agak malangnya ialah yang berada dalam ketegoti ‘bodoh dan tolol’ini adalah terdiri dari orang Melayu yang berada di luar bandar dan ramai juga yang berada di bandar-bandar. Walaupun tidak ada statistik yang menunjukkan keadaan sedemikian, namun melalui pemerhatian dan cakap-cakap begitulah keadaannya.
Kedengaran juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa orang Melayu di luar bandar yang dianggap ‘bodoh dan tolol’ ini. Sebenarnya tidak. Bagi aku ramai juga orang Melayu yang tinggal di bandar yang tidak terlepas daripada anggapan sedemikian. Mungkin mereka digolongkan dalam keadaan ‘bodoh dan tolol’ tetapi mereka mungkin sesuai dikategorikan sebagai orang Melayu yang tidak peka dengan perkembangan dan peredaran zaman. Di bandar pula ramai yang terpaksa membodohkan diri disebabkan ‘kekenyangan’.
Kadang-kadang aku merasa begitu malu melihatkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kerajaan mengeluarkan kenyataan yang kadang-kadang dilihat sebagai kenyataan yang dilafazkan secara melulu dan tidak dilandaskan kepada fakta. Tentulah aku merasa ‘sedih’ apabila kenyataan sedemikian dapat ‘dipatahkan’ dengan mudah oleh pihak tertentu yang menggunakan hujah-hujah yang begitu mantap dan padat. Dengan sendirinya membayangkan tentang tidak cerdiknya pimpinan kita.
Kesannya juga ialah terasanya anggapan oleh pemimpin-pemimpin kita yang masih menganggap bahawa masyarakat Malaysia masih boleh diperbodohkan dan diperkotak-katikkan. Kalau tidak masakan para pemimpin kita tidak berfikri sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan tanpa sebarang ‘back-up’ dan alasan-alasan yang konkrit.
Antara contoh yang boleh diketengahkan tentang sikap pemimpin yang cuba memperbodohkan rakyat Malaysia ialah yang berkaitan dengan isu Tabung Haji. Diberitakan (mungkin sahih berita demikian) bahawa tanah Tabung Haji yang dibeli dari IMDB belum lagi terjual. Sekiranya betul demikian keadaannya ini merupakan satu ‘penipuan’ yang bukan kepalang yang dilakukan oleh pengurusan Tabung Haji kepada penyimpan dan rakyat Melayu yang beragama Islam di negara ini.
Dikatakan dulu oleh Pengerusi Tabung Haji bahawa sudah ada pihak yang ‘berebut-rebut’ untuk membeli hartanah berkenaan dan sejumlah keuntungan yang boleh diperolehi oleh Tabung Haji.
Rakyat Melayu yang beragama Islam percaya apatah lagi yang membabitkan hal-hal berkaitan dengan Haji dan Makkah dan Rukun Islam yang kelima. Rupa-rupanya pihak pengurusan Tabung Haji tidak lagi memikirkan tentang ‘dosa-pahala’ dan ‘halal-haram’ dalam hal urusan mereka. Mereka tidak peduli semuanya. Mereka ‘langgar’ hukum agama.
Golongan ini rupanya tidak takut berbohong dan seolah-olah menjadi amalan mereka untuk berbohong kepada rakyat. Mereka sangka bahawa rakyat tidak tahu. Betul ada segelintir penyimpan yang tidak tahu menahu dan tidak ambil peduli, namun ramai golongan penyimpan sedang memerhatikan ‘detik demi detik’ perjalanan Tabung Haji. Pengerusi Tabung Haji tidak harus berbohong, ‘tersengih disana dan tersengih di sini’ mempertahan dan ‘menegakkan benang basah’ hal-hal yang berkaitan dengan penjualan tanah Tabung Haji kepada IMDB.
Kini sudah muncul pula ‘babak baru’ dalam usaha menenggelamkan isu yang berkaitan dengan IMDB, Felda, TH dan MARA. Para pemimpin kerajaan yang bertaraf ‘pengampu’ sedang mempersoalkan isu tentang ‘siapa yang bertemu dengan Andre Justo, bekas pengarah Petro Saudi International’.
Apakah mereka tidak sedar bahawa rakyat sedar dan faham bahawa ini hanya merupakan muslihat sengaja untuk mengalihkan pandangan masyarakat tentang mempesoalkan tentang isu yang membabitkan IMDB.
Rakyat masih menumpukan kepada persoalan yang masih belum terjawab ia itu tentang sejumlah wang negara yang dikatakan ‘hilang entah kemana’ dan masih belum terjawab banyak persoalan yang berkaitan dengan wang yang dipinjamkan kepada IMDB oleh kerajaan.
Rakyat sebenarnya tidak berminat mengetahui siapa yang berjumpa dan bertemu dengan Andre Justo. Dan sekiranya difikirkan secara rasional apakah salah di segi undang-undang negara sekiranya seseorang itu berjumpa dengan Justo sehinggakan beliau terpaksa diambil tindakan. Aku tak tahu undang-undang mana yang digunakan sehinggakan untuk berjumpa dengan seseorang merupakan satu kesalahan di negara ini.
Aku tidak mengatakan diri aku bodoh tetapi aku mulai ‘bingong’……
http://abuhassanadam.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan