FMT Reporters
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rombakan Kabinet antara awal Ogos hingga pertengahan Oktober sebagai persediaan terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Akhbar China Press melaporkan, rombakan itu dilihat amat penting kerana dijangka merupakan barisan Kabinet terakhir sebelum ketibaan pilihan raya umum.
Rombakan tersebut dijangka diadakan sebelum pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober untuk memudahkan menteri-menteri baharu melaksanakan tugas-tugas berkaitan.
Akhbar itu melaporkan, antara tujuh hingga lapan Menteri dijangka digantikan termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut dikhabarkan tersenarai ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang tempoh senatornya bakal tamat.
Akhar itu memetik sumber sebagai berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah akan diberi peranan penting untuk menenangkan keadaan di negeri itu selepas Shafie digugurkan daripada Kabinet.
Najib sendiri dijangka mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri sementara jawatan Menteri Kewangan akan digantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Pertahanan ketika ini.
Walaupun menyebut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meninggalkan Kementerian Pendidikan, tetapi laporan itu tidak menyebut kementerian yang bakal diteraju Muhyiddin.
Untuk Menteri Kewangan II pula, jawatan itu akan diisi oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar sementara Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Abdul Wahid di Unit Perancang Ekonomi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Untuk mengimbangi pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kini merupakan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan dilantik sebagai menteri.
Turut dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri penuh ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin. Ahmad dikatakan berpeluang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Nama bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim juga disebutkan. Irmohizam dijangka dilantik sebagai timbalan menteri.
Untuk calon MIC pula, Datuk M. Saravanan yang kini merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan berpeluang dilantik sebagai menteri sementara seorang senator dari parti itu mengisi jawatan timbalan menteri.
Menteri-menteri daripada kaum Cina dijangka tidak mengalami perubahan melainkan pertukaran jawatan dalam kalangan timbalan menteri.
Dalam pada itu, Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu juga dijangka menyertai Kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan