"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mampukah Pakatan Harapan bertahan dalam politik tanah air?

Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan selepas tumbangnya Pakatan Rakyat, masih dilanda masah antara parti, terutamanya antara PAS dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2015.
Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan selepas tumbangnya Pakatan Rakyat, masih dilanda masah antara parti, terutamanya antara PAS dan DAP

Peribahasa Melayu menyatakan 'muafakat membawa berkat, berpecah membawa rebah', yang membawa maksud dalam apa jua keadaan, kejayaan boleh dicapai selagi seluruh anggota bersatu hati dan akan gagal jika bercerai-berai.

Ungkapan peribahasa ini jelas sekali sesuai untuk menggambarkan kemelut semasa yang melanda PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Senario politik tanah air juga membuktikan ungkapan 'berpecah membawa rebah' memang berlaku kepada gabungan pembangkang bermula dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan sekarang Pakatan Rakyat (PR) yang terkubur kerana perbalahan sesama sendiri.

Parti-parti serpihan seperti Semangat 46 (S46) yang lahir pada 1988 daripada perpecahan Umno, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 1983 dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1995 kedua-duanya daripada PAS, juga terkubur.

Selain itu, perpecahan PAS juga menghasilkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada 1977 dan membuat kemunculan kembali pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.

Kini PAS sekali lagi berpecah dengan munculnya Parti Amanah Negara (Amanah) yang diilhamkan bekas timbalan presidennya Mohamad Sabu dan kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS Jun lalu, dengan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM).

Penganalisis politik berpendapat pembentukan 'Pakatan Harapan' gabungan – PKR, DAP, Amanah – yang menggantikan 'Pakatan Rakyat', adalah sesuatu yang diduga memandangkan PAS dan DAP tidak pernah 'sebulu' dalam soal bekerjasama sebelum ini.

Pada 22 September, PKR, DAP dan Amanah, yang sedang dalam proses didaftarkan, sepakat menubuhkan sebuah pakatan baharu yang dinamakan Pakatan Harapan, tanpa penyertaan PAS.

Jika dilihat pada sejarah, PAS dan DAP pernah bekerjasama menerusi BA pada 1999 yang turut dianggotai Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum KeADILan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.

Lantaran tidak bersetuju dengan dasar PAS memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001. Ini menjadikan hanya PAS dan KeADILan kekal bekerjasama dan memberi tentangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Penganalisis berpendapat PKR pasti akan tersepit antara kehendak gabungan baharu dengan semangat setiakawan bersama PAS.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah PKR hendak 'melayan' PAS memandangkan parti Islam itu tidak lagi mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah?

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata walaupun kedudukan PKR dilihat tersepit, namun parti tersebut sebenarnya membuat tindakan yang berani dan agresif.

"Contoh yang jelas ialah mereka menerima kemasukan anggota Parlimen Tumpat dan bekas pimpinan PAS iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar. Jika dilihat daripada sudut kerjasama politik, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

"Selain itu, sokongan yang ditunjukkan pimpinan PKR terhadap Amanah juga seolah-olah membelakangkan PAS," katanya kepada Bernama.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laman rasmi PAS Selasa lepas dipetik sebagai berkata PKR masih rakan tahaluf (kerjasama) PAS di dalam 'Pakatan Rakyat' sebagaimana ditegaskan pada muktamar lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP mahu pun Amanah.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan semalam dilaporkan berkata PAS masih lagi mengekalkan kerjasama politiknya dengan PKR kerana perkara itu diputuskan pada muktamar tahunan parti itu Jun lepas.

Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata PKR memberikan isyarat yang jelas mereka sangat memerlukan PAS tetapi pada masa sama, memerlukan pakatan pembangkang yang pelbagai.

"Ini kerana sekiranya PR berpecah secara total, maka semua impian mereka musnah," katanya.

Mampukah bertahan sebagai gabungan?

Penganalisis politik juga sebelum ini pernah menjangkakan PR akan menerima nasib yang sama sepertimana yang pernah berlaku dalam BA dan APU.

Mampukah pakatan baharu yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bertahan dalam arena politik tanah air?

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata seperti PR, pakatan baharu itu juga dilihat longgar jika tidak distruktur dengan betul sepertimana dilaksanakan BN.

"Jangkaan saya, jika tidak distrukturkan dengan betul, Pakatan Harapan akan terdedah kepada pembubaran dengan mudah. Jadi PKR perlu menyatakan pendiriannya sama ada memutuskan hubungan dengan PAS atau membiarkan PAS bersendirian," katanya kepada Bernama.

Che Hamdan berpendapat jawapan bagi persoalan sama ada PR sudah tidak wujud, sebenarnya boleh dikatakan sebagai di awang-awangan.

"Melihat sudut pandangan DAP dan Amanah, seolah-olah mengambarkan PR sudah tidak wujud, sebaliknya bagi PAS, pakatan itu masih wujud dan kerajaan negeri Selangor sering diambil sebagai contoh kewujudan PR.

"Cuma dalam konteks pada hari ini, selepas berlangsung sidang meja bulat, pimpinan pembangkang berusaha untuk memulihkan persepsi masyarakat dengan menubuhkan Pakatan Harapan bagi membolehkan DAP dan Amanah duduk bersama dengan PKR.

"Selain itu harus diingat, ia juga mengulangi sejarah kewujudan dua pakatan pembangkang seperti yang berlaku semasa era APU dan Gagasan rakyat," katanya.

Amanah berjaya pecahkan PAS

Che Hamdan berkata apa yang jelas pada hari ini ialah, Amanah di bawah pimpinan Mohamad Sabu berjaya memecahkan PAS daripada segi sokongan, kepimpinandan juga moral.

"Ini menimbulkan suasana panik dalam PAS. Natijahnya mereka berusaha untuk menggambarkan keahlian sentiasa bertambah dan beberapa program besar dianjurkan seperti HARAP yang berlangsung di Dungun baru-baru ini.

"Ia satu reaksi terhadap ancaman Amanah," katanya.

Pun begitu, sebenarnya masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana kemampuan peranan yang bakal dimainkan oleh Amanah bagi menggantikan PAS.

Keretakan PR bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kekal bekerjasama dengan PAS.

PAS kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada muktamar tahunan PAS ke-61 pada awal Jun lepas.

Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng mengisytiharkan PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP 'membunuh' pakatan itu.

Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 17 Jun mengakui PR tidak lagi berfungsi secara formal. 
-Bernama-

Tiada ulasan: