"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin semakin dipencilkan?

Di atas kertas Tan Sri Muhyiddin Yassin memang masih timbalan presiden Umno, tetapi di peringkat dalaman parti kedudukannya dipercayai semakin dipencilkan.

Sepucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menguatkan lagi spekulasi itu.

Melalui surat berkenaan, anggota bahagian perancangan strategi parti - dikenali sebagai Pusat Penyelarasan dan Operasi Pilihan Raya Umum (GCOC) - dimaklumkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada Ahad ini.

Apa yang menarik perhatian, mesyuarat itu sepatutnya dipengerusikan Muhyiddin atas kapasitinya sebagai pemimpin nombor dua Umno.

Bagaimanapun mesyuarat di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur itu kali ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid kini naib presiden Umno.

Surat itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada penggantian itu untuk mesyuarat terkini itu sahaja atau berterusan.

Perubahan mengejutkan
Menurut sumber, perubahan tugas mempengerusikan mesyuarat itu mengejutkan ketika Muhyiddin terus menyatakan kesetiaannya kepada Umno, walaupun diketepikan Datuk Seri Najib Razak daripada kabinet pada 28 Julai lalu.

"Bagaimana Ahmad Zahid sebagai naib presiden boleh menggantikan Muhyiddin yang kini masih timbalan presiden?" katanya kepada Malaysiakini.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh Najib selepas lantang menyuarakan kritikan terhadap cara perdana menteri menguruskan isu 1MDB.

Turut digugurkan dari kabinet, seorang lagi tokoh kanan Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu juga sering membangkitkan keresahan rakyat terhadap pelbagai isu negara, terutama 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham Najib.

Di sebalik pemecatan itu kedua-dua tokoh berkenaan tetap menyatakan ikrar untuk kekal bersama Umno.

Ubah pramesyurat MT

Sumber berkata, satu lagi perubahan dibuat Najib mutakhir ini ialah mengubah proses pramesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Biasanya sebelum mesyuarat MT, akan ada mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan ia juga dipengerusikan oleh timbalan presiden Umno," katanya.

Kini, kata sumber itu, mesyuarat itu tidak lagi diadakan sebaliknya ia dikenali sebagai "biro khas politik".
"Ia dipengerusikan oleh presiden Umno sendiri," katanya.

Sumber menjelaskan, keadaan itu menunjukkan seolah-olah Najib memang tidak lagi yakin pada timbalannya dalam parti dan terus mengetepikan bekas menteri besar Johor itu daripada tugas penting dalam Umno.

Sementara itu sumber lain menyatakan, tugas mempengerusikan kedua-dua mesyuarat itu bukan hak eksklusif timbalan presiden.

Katanya, tugas berkenaan boleh digantikan oleh tokoh lain yang dirasakan sesuai oleh pemimpin parti.

"Memang Muhyiddin masih timbalan presiden tetapi beliau dilihat enggan mendengar cakap presiden. Pada masa sama, ada pemimpin lain yang mahu mendengar cakap presiden," katanya.

Difahamkan Muhyiddin ada membangkitkan isu itu dalam mesyuarat MT baru-baru ini tetapi Najib dikatakan tidak menjawab pertanyaan berkenaan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: