Pilihan Raya Sarawak Kenapa 10 peratus undi Cina lari daripada DAP?
Mohd Sayuti Omar
Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 sudah pun selesai dan keputusan juga sudah diperolehi. Seperti mana diduga ramai parti PBB (BN) telah berjaya membentuk kerajaan Sarawak dan sekali lagi Adnen Satim mengangkat sumpah bagi kali kedua menjadi Ketua Menterinya.
Keputusan rasmi BN 72 kerusi, DAP 7, PKR 3 manakala parti-parti lain kosong.
Pencapaian diraih BN yang begitu cemerlang mengejutkan pembangkang terutamanya DAP yang diharap akan memberi cabaran sebenar kepada BN khasnya di kawasan majoriti Cina. DAP yang sebelum ini mempunyai 12 kerusi bertanding di 31 kerusi, diharap dapat menambahkan suara pembangkang dalam DUN Sarawak.
Sebagai sebuah parti yang berhati-hati dan bertindak rasional, DAP diramalkan akan dapat mengekalkan 12 kerusi yang sedia ada, kalau pun tidak dapat menambah satu dua kerusi baharu. Tetapi ternyata ramalan itu meleset, sebaliknya DAP mengalami kemerosotan sokongan menyebabkan parti itu gagal mempertahankan lima kerusi yang sedia ada. DAP juga turut boleh diistyharkan kalah.
Kekalahan itu sesuatu yang tentu merujakan DAP sendiri yang bersiap sedia untuk menjadi kerajaan di Sarawak tahun 2021 seperti mana disuarakan Lim Kit Siang.
Kita tunggu bedah siasat berhubung perkara itu daripada DAP. Bagaimana pun dalam ulasan awalnya Parti itu telah memberi beberapa alasan kenapa mereka kalah. Antara faktor awal disebut ialah undi orang Cina telah kembali semula kepada BN.10 peratus undi Cina beralih kepada BN.
Selain itu peratus keluar mengundi rendah berbanding PRN lalu juga membawa kepada kekalahan itu. Pertandingan tiga penjuru atau kegagalan parti oposisi - Harapan Rakyat; PKR, Amanah dan DAP sepakat disemua kerusi membawa faktor kepada kekalahana itu. DAP juga meletakkan habuan projek oleh BN sebagai salah satu penyebabnya.
Apa disebut DAP itu mungkin benar, tetapi ia perlu kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh kenapa berlaku faktor demikian. Misalnya, kenapa 10 peratus undi Cina kembali semula kepada BN? Apakah kerana habuah projek? Rasanya orang Cina agak cerdik dan lebih memaham mengenai habuan projek pilihan raya. Mereka tidak teruja dengan habuah projek berbillion ringgit yang sudah menjadi satu kemestian pada setiap kali pilihan raya.
Bagi saya, ada beberapa sebab berkaitan mengapa undi Cina lari kepada BN dan tidak kekal dengan DAP. Antara yang boleh dirumuskan disini, orang Cina Sarawak mungkin memahami DAP tidak dapat memberi apa-apa sumbangan lebih bermakna atas kapasiti mereka sebagai pembangkang. Mereka juga munngkin mengira pilihan raya kali ini tidak memberi signifikan kepada perubahan kuasa politik Malaysia secara menyeluruh seperti mana diharapkan.
Orang Cina sudah dapat membuat perhitungan bahawa DAP tidak mampu menjadi kerajaan, apabila hanya mengetahui pengaruhnya dibeberapa kawasan tertentu sahaja. Secara umum kaum bumniputera Sarawak masih menguasai politik Sarawak. Jadi sokongan dengan harapan DAP memain peranan di Sarawak tidak begitu memberangsangkan, kecualilah berlaku perubahan di peringkat Pusat.
Atas pandangan demikian menyebabkan mungkin orang Cina berasakan tidak begitu penting dan keadaannya tidak begitu terdesak untuk mereka menyokong DAP kerana ia tidak membawa apa-apa perubahan signifikan, maka jalan terbaik bagi mereka melangsungkan politik Sarawak seperti sebelum ini dengan memberi sokongan semula kepada calon-calon Cina daripada BN dengan harapan politik Sarawak dapat ditenangkan.Mereka sangat menjaga keadaan mereka yang minoriti.
Selain daripada itu juga ketidakghiarahan orang Cina untuk menyokong DAP kali ini, ialah mereka menyedari perkembangan ataupun kedudukan dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. Kecelaruan Pakatan Rakyat sehingga pakatan itu dibubarkan apabila berlaku perbalahan antara Pas dengan DAP menyebabkan mood mereka tumpul untuk terus memberi sokongan kepada pembangkang. Tidak dapat dinafikan perbalahan Pas - DAP sehingga hancurnya Pakatan Rakyat memberi kesan negatif kepada masyarakat Cina di Sarawak.
Jadi kalau Pas berharap penyertaan mereka dalam pilihan raya itu serta tindak tanduk pemimpinnya menganggu pengaruh DAP, dikira berjaya. Kenyataan Hadi Awang yang dianggap sebagai dangkal yang mana Pas tidak akan membenarkan DAP menguasai Sarawak atas alasan agama, berjaya menganggu sokongan DAP.
Mengenai kepaduan oposisi orang Cina atau pengundi atas pagar di Sarawak menilai bahawa Pakatan Rakyat, atau pakatan oposisi tidak seampuh BN. Ini menyebabkan mereka berfikir adalah merugikan masa sahaja kalau mereka memberi sokongan kepada pembangkang.
Dalam pada itu, faktor lain dan ini dikira besar, masyarakat Cina dan pengundi Sarawak melihat pembankang tidak mempunyai pemimpin yang bakal diharap yang akan memimpin pembakang seterus menjadi perdana menteri kalau pembangkang berjaya. Pemenjaaraan Anwar Ibrahim menyebabkan masyarakat Cina tidak nampak siapa yang akan menjadi pemimpin sekiranya pembankang menang. Nasib diterima Anwar turut melumpuhkan semangat mereka.
Awal-awal saya sudah membilang suasana dan senario pilihan raya Sarawak kali ini tidak semeriah dan seghairah pilihan raya umum negeri lalu apabila ia tidak disertai dua pemimpin yang menjadi sanjungan orang ramai, iaitu Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim. Nik Aziz sudah tidak ada manakala Anwar pula dikurung dalam tembok besi.
Atas faktor itu maka pengundi Cina menjadi tidak ghairah dan menyebabkan mereka tidak terdesak dan tidak menaruh harapan kepada DAP, justeru jalan terbaik ialah dengan kembali semula kepada BN. Pengembalian itu bukan bermakna akan kekal, sebab orang Cina membuat pilihan berdasarkan isu dan kepentingan-kepentingan peribadi semasa bangsa itu. Ada kemungkinan mood dan tindakan mereka akan berubah pada masa akan datang.
Adapun dakwaan DAP, kemerosotan sokongan kepadanya disebabkan habuah projek diberikan BN, menyebabkan undi Cina lari, faktor ini ini bagi saya tidak begitu besar sangat. Perkara itu bukan berlaku kali ini tetapi lama sebelum ini. Dalam pilihan raya tahun 2011, habuah projek ini juga ditabur tetapi pengundi Cina tetap tidak peduli.
Dalam pada itu isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang khasnya DAP tidak dimakan pengundi. Isu 1MDB dan keborosan Najib Razak tidak menjadi faktor penentuan undi bagi masyarakat Cina. Boleh dikatakan isu 1MDB tidak memberi bekas langsung kepada pengudian di Sarawak. Secara umumnya, tidak ada isu menarik ditawarkan DAP bersama Pakatan Harapan kali ini, dan kalau pun ada tidak sehebat pada tahun 2011.
Sebaliknya serangan ke atas pemimpin DAP, Lim Guang Eng dalam isu pembelian banglo sedikit sebanyak turut menganggu kosentrasi pengundi Sarawak kepada parti itu.
Menyimpul apa yang berlaku berdasarkan alasan dan sebab-sebab tadi, DAP atau parti pembangkang boleh meraih sokongan pengundi Cina dan pengundi atas pagar untuk masa akan datang sekiranya DAP dan oposisi dapat menyakinkan pengundi dengan mengemukakan seorang pemimpin yang boleh diharap menjadi perdana menteri seperti mana digelar kepada Anwar Ibrahim.
Dalam erti kata lain Anwar masih menjadi faktor penyumbang kepada sokongan kepada DAP dan parti pembangkang lain. Selagi pembangkang tidak dapat meletakkan nama sehebat Anwar mungkin sukar untuk pembangkang merombak kepercayaan pengundi daripada terus menyokong BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan