"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Kon berselerak, jalan rosak punca sesak 20km

AIMUNI TUAN LAH
Keadaan kon berselerak di kawasan Merapoh, Pahang menuju ke Gua Musang hari ini. FOTO MEDIA SOSIAL
GUA MUSANG – Kon keselamatan yang berselerak selain keadaan jalan rosak dipercayai menjadi antara punca kesesakan teruk sejauh 20 kilometer (km) di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis menuju ke Bandar Gua Musang hari ini.

Tinjauan mendapati, keadaan itu menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Asraf Zakaria, 41, berkata, dia bersama keluarganya terperangkap dalam kesesakan hampir tiga jam sebelum tiba di daerah ini.

“Dengan nasihat daripada rakan, saya menggunakan laluan kampung melalui Kampung Mentara Lama seterusnya ke Kampung Lepan Jaya.

“Walaupun tidak perlu melalui sempadan pintu masuk dari lebuh raya LTU Kuala Lipis, saya masih terperangkap dalam kesesakan apabila terdapat banyak jalan rosak selepas Kampung Lepan Jaya sehingga menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Arshad Ismail, 39, berkata, jalan berlubang dan tidak rata serta susunan kon keselamatan yang berselerak menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi terhad.

Katanya, kesesakan teruk berlaku di sempadan pintu masuk ke daerah ini berhampiran Kampung Mentara dan Kampung Merapoh, Pahang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo memaklumkan, kesesakan dikesan berlaku hampir 20 km bermula dari pintu masuk daerah ini berhampiran Kampung Mentara.

Katanya, pergerakan kenderaan perlahan di kawasan lencongan projek pembinaan LTU, namun trafik kembali lancar selepas lokasi terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: