SAYA mulakan dengan meminta maaf jika tulisan ini akan mengguriskan hati mana-mana pihak. Saya berusaha untuk jadikan tulisan ini fokus kepada maksud yang ingin saya sampaikan dan mengurangkan perencah-perencah yang ada di sekitar isu yang berlaku dua –tiga hari lepas.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kehadiran Tuan Guru Abdul Hadi ke Tehran, Iran, untuk menghadiri Muktamar yang diadakan oleh Majlis Taqrib Antara Mazhab.
Kehadiran Tuan Guru ke sana bukan sahaja dirasai oleh orang Melayu, bahkan oleh orang Arab sendiri, dan saya secara peribadi tahu berkenaan kehadiran itu kerana dikhabarkan oleh orang Arab yang terkejut dan bertanya mengenai kehadiran tuan guru ke muktamar tersebut.
Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) telah menegur ziarah Tuan Guru ke Tehran di masa umat Islam sedang berperang dengan kelompok mereka dan meminta beliau untuk muhasabah ziarah tersebut, manakala PAS meminta orang ramai untuk menunggu penjelasan daripada beliau sendiri, sehingga beliau mengeluarkan risalah yang diterbitkan semalam berkenaan bertajuk Dalang Sebenar di Sebalik Krisis Timur Tengah khususnya Syria dan Iraq.
Dalam risalah tersebut beliau menyatakan bahawa dalang sebenar bagi krisis adalah Zionis Yahudi dan pihak Barat, dan beliau turut mempertikaikan kemarahan umat Islam terhadap golongan Syiah dan Iran.
Ramai terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Guru kerana ramai menyangka kehadiran beliau ke sana adalah untuk “mempertahankan dan membawa suara Ahli Sunnah” namun jelasnya ia lebih kepada hendak “mengharmonikan pandangan kita – kaum muslimin – terhadap Syiah”, iaitu dengan tujuan untuk mendekatkan antara Ahli Sunnah dan Syiah, sesuai dengan resolusi yang dikeluarkan oleh muktamar tersebut.
Hasrat saya dalam menulis risalah ini adalah untuk menjelaskan hakikat konflik antara Ahli Sunnah dan Syiah dan rendah hati mengharap rakan-rakan daripada pihak PAS untuk membaca tulisan saya dengan hati yang terbuka, seterusnya meninggalkan pendirian berlembut dengan Syiah, dan menyedari bahawa mereka adalah musuh yang nyata bagi kita, dan terus bertegas dengan mereka, sepertimana PAS telah meninggalkan pendirian berlembut dengan DAP, dan menyedari hakikat bahawa mereka adalah musuh yang nyata terhadap kaum muslimin.
Saya akan pergi kepada isi penting yang perlu dijelaskan daripada risalah Tuan Guru.
1. Tuan Guru menyatakan: “Mengapa Mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada seribu tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelusuk dunia, tiba-tiba kini ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya? Dahulunya berkhilaf secara ilmu sahaja tanpa berpisah dalam satu umat, tiba-tiba sekarang dianggap seperti agama yang berbeza.”
Rendah hati saya mohon kesudian dan keizinan untuk menyatakan sebenarnya, khilaf umat Islam dengan kaum Syiah bukanlah khilaf secara ilmu sahaja.
Syiah telah lahir daripada tumpahan darah Ahli Sunnah. Bermula di kurun awal Islam daripada fitnah Abdullah bin Saba’, dia bersama sekelompok munafiqin yang membuat kucar kacir dalam empayar umat Islam sehingga mengakibatkan peperangan besar berlaku sesama muslimin.
Kedua-dua kelompok sahabat itu adalah Ahli Sunnah, namun yang memulakan pergolakan dan pemberontakan terhadap Saidina Uthman RA (yang menjadi punca persengketaan selepas itu) adalah fitnah dan ajaran si munafik Abdullah bin Saba’ yang menjadi doktrin utama Syiah hari ini.
Yang mengkucar-kacirkan keadaan di zaman Saidina Ali RA juga berasal daripada kaum munafiqin yang sama, yang menyebarkan ajaran sesat sehingga mendakwa Saidina Ali adalah Tuhan, sehingga Saidina Ali sendiri berang dan menghukum bunuh terhadap ketua-ketua ajaran tersebut (Saba’iyyah).
Kemudian mereka melakukan pengkhianatan berdarah terhadap Saidina Hussein RA, (mereka telah memanggil Saidina Hussein untuk membuat revolusi terhadap Yazid tetapi akhirnya mereka sendiri membunuh beliau), kemudian berkembang menjadi kelompok Rafidhah turut membuat kucar kacir dan pergolakan di dalam dunia Islam, di atas nama mazhab Islam!
Para ulama muktabar era tersebut sendiri pernah menyebut berkenaan Syiah Rafidhah ini bahawa mereka bukan daripada umat Islam, seperti kata-kata Imam al-Bukhari “Aku tidak membezakan apakah aku solat bermakmum di belakang seorang penganut Jahmiyah atau Rafidhah (Syiah), ataukah bermakmum di belakang Yahudi dan Nasrani (tiada beza antara mereka),” (Khalqu Af’alil ‘Ibad karangan beliau) dan Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa “Mereka adalah yang menolak sahabat Rasulullah SAW, mengutuk, memperendahkan mereka hingga mengkafirkan semua sahabat kecuali Ali, Amar, Miqdad dan Salman. Maka al-Rafidhah (Syiah) ini sedikit pun bukanlah daripada Islam,” (Kitab as-Sunnah, li Imam Ahmad).
Lihat, para ulama muktabar dahulu sendiri menganggap mereka bukan saudara seagama! Pertumpahan darah dan pergolakan berterusan dilakukan oleh puak Syiah.
Pada kurun keempat hijrah mereka pernah membunuh Jemaah Haji di Masjidil Haram dan mencuri Hajarul Aswad dan membawanya ke empayar mereka, kemudian mereka menyerang dan menjajah kaum muslimin di Mesir, Iraq, Syria, Afghan, dan sebahagian tanah Hijaz! Ketika itu mereka menakluk kawasan yang sangat banyak daripada tanah kaum muslimin.
Perang antara Syiah dan kaum muslimin ini berterusan, hatta di zaman Salahuddin al-Ayubi, dan zaman Khilafah Uthmaniah, berlaku peperangan antara kerajaan Islam (Salahuddin/Uthmaniah Sultan Salim 2) dengan empayar Syiah, sehinggalah ke zaman moden hari ini.
Sejarah umat Islam dan Syiah bukanlah khilaf ilmu. Ia adalah dendam berdarah kelompok munafiq yang ingin menghancurkan dan memporak-perandakan kaum muslimin dengan nama “Mazhab Islam”.
Mereka telah berpakat dengan Yahudi, berpakat dengan tentera salib, berpakat dengan tentera Monggol untuk menyerang umat Islam. Apa sahaja jalan yang ditemui untuk menumpahkan darah dan memporak-perandakan kaum muslimin, mereka akan lakukannya demi memuaskan kedengkian di dalam hati mereka.
Inilah hakikat yang diberitahu oleh catatan sejarah dan pengakuan para ulama serta pemimpin pemimpin islam.
2. Tuan Guru juga menyebut “Setahu saya Iran tidak membuat kenyataan untuk mengeksport Revolusi Islam Syiahnya. Iran hanya mengajak Negara Arab yang berjiran itu bersatu menentang Israel dan membebaskan diri mereka daripada kuasa asing.”
Sebenarnya di dalam pembukaan perlembagaan republik Iran sendiri menyatakan dengan terang kenyataan mengenai peranan mereka mengeksport revolusi mereka ke negara lain.
Dalam preamble ia menyebut bahawa Republik Iran “…provides the necessary basis for ensuring the continuation of the Revolution at home and abroad” dan “will strive with other Islamic and popular movements to prepare the way for the formation of a single world community.”
Dan juga “The Army of the Islamic Republic of Iran must be an Islamic Army, i.e., committed to Islamic ideology and the people, and must recruit into its service individuals who have faith in the objectives of the Islamic Revolution and are devoted to the cause of realizing its goals.”, yang bermaksud :
Bahawa Republik Iran akan “..Menyediakan keperluan-keperluan asasi bagi memastikan penerusan Revolusi ini di tanah air dan LUAR NEGARA”, dan “akan berusaha dengan gerakan Islam dan gerakan massa untuk menyediakan jalan kepada PENUBUHAN satu kerakyatan global”, dan “Ketenteraan negara Republik Islam Iran mestilah sebuah ketenteraan Islam, iaitu berpegang dengan ideologi Islam dan kaumnya, dan mestilah MEREKRUT ke dalam perkhidmatannya sesiapa yang beriman dengan cita-cita Revolusi Islam dan komited kepada perjuangan mencapai cita-cita tersebut”.
Dan kita faham yang dimaksudkan “Islam”, “ideologi Islam”, “cita-cita revolusi Islam” dalam perlembagaan tersebut adalah “Islam Syiah” dan bukannya Islam yang kita imani.
Kenyataan ini jelas menunjukkan hasrat mereka meluaskan pengaruh hegemoni mereka ke seluruh dunia khususnya dunia Islam. Ini bukan sekadar kenyataan di dalam perlembagaan tetapi satu projek yang mereka benar-benar lakukan.
Sebagai contoh pada tahun lepas, penasihat presiden Iran, Ali Youseni telah mendakwa bahawa “Iran adalah sebuah empayar” manakala “Baghdad (iaitu bandar utama di Iraq) akan menjadi ibu negeri kepada Empayar Iran” sedangkan Baghdad adalah bandar milik kaum Sunni dalam negara Iraq.
Pihak tentera Iran (Mohd Bagheri) juga dengan berani dan terang mengatakan bahawa mereka akan mendirikan markaz tentera (tentera kerajaan Iran rasmi) di Yaman, di Syria dan di negara Arab lain.
Yang dimaksudkan dalam kenyataan ini adalah unit ketenteraan yang rasmi Iran (IRGC), kalau kita bilang militia/organisasi tentera yang tidak rasmi, itu sudah lama bertapak dan beroperasi secara aktif dalam Syria, Iraq, Afghanistan, Yaman serta negeri-negeri di Afrika, dan ini diakui sendiri oleh bekas general tentera Iran, Falaki.
Apa yang militia Syiah itu buat di negeri-negeri orang Islam? Apa projek mereka? Adakah ini semua bukan projek meluaskan pengaruh Syiah, mengeksport revolusi dan menjajah negara-negara Islam?
Bagaiamana pula dengan serangan roket ke arah Makkah yang dilakukan oleh Syiah di Yaman? Bagaimana pula kenyataan timbalan general tentera Iran baru-baru ini, setelah mereka berjaya “membebaskan” Aleppo daripada “musuh Islam”, dia dengan berani dan celuparnya mendakwa bahawa “pembebasan Aleppo akan diikuti oleh pembebasan Islam di YAMAN dan BAHRAIN”?
Bukankah ini jelas agenda mereka mahu campur tangan di negeri kaum muslimin? Tidakkah jelas ia menunjukkan hasrat mereka untuk menakluk negeri-negeri kita? Bukankah dalam sejarah era khilafah juga pernah menunjukkan projek penjajahan mereka yang berlaku di Mesir, Afghan, Iraq, dan lain-lain tempat dalam dunia Islam?
Berapa banyak negara yang mereka perlu hancurkan untuk kita sedar kesyaitanan dan kerakusan puak Syiah? Adakah sehingga tentera mereka menendang pintu rumah kita, merogol dan membunuh anak isteri kita barulah kita akan mengiktiraf bahawa Syiah benar-benar mempunyai cita-cita rakus untuk menakluk dunia Islam?
Inilah hakikat yang harus kita fahami dan terima. Syiah tidak pernah berubah seperti dalam sejarah membunuh nenek moyang kita -para muslimin- dan menjarah negeri kita, dan inilah yang mereka lakukan dan teruskan pada era ini.
3. Pada perenggan-perenggan lain, Tuan Guru menekankan :
A- Syria dan Iran menentang Israel dan membantu perjuangan Palestin
B- Iran mencabar kuasa dunia/Barat
C- Negara Arab menjadi boneka Zionis Barat
“Syria adalah negara terdekat di kalangan negara Arab yang menolak perjanjian Madrid dan Oslo bagi mewujudkan perdamaian dengan negara haram Israel tanpa peduli terhadap bumi Palestin yang dirompak dan rakyatnya yang menjadi mangsa.”
“Iran selepas Revolusi Islam walaupun dilabelkan Syiahnya, adalah kalangan negara Islam yang menentangnya setelah membatalkan pengiktirafan terhadap Israel dan terus memutuskan hubungan biarpun diikat di zaman Shah.
“Iran telah mengambil manfaat daripada Syria di bawah pemerintahan Parti Baath yang berkrisis dengan Parti Baath Iraq pimpinan Saddam Husain di mana Iraq dibantu negara Barat untuk menyerang Iran dengan sokongan Negara Arab khususnya negara Teluk.”
Saya ingin pergi kepada isi – “Iran menentang Israel”. Kita mengiktiraf ada peranan Iran dan Syria dalam memberi ruang bantuan pada gerakan Islam sebagai contoh Hamas. Tetapi benarkah Iran sendiri menentang dan mengancam Israel? Jawapannya, Tidak!
Semua laungan menentang Israel hanyalah retorik Iran dan permainan media sahaja, sepertimana mereka suka bertakiyah, seperti itu jugalah mereka suka bermuka-muka dalam pentas politik global. Takiyah telah menjadi polisi politik luar negeri mereka.
Perang Iran-Iraq yang berlaku sepanjang 1980-1988 menyaksikan bahawa Iran sebenarnya mempunyai ikatan dan kerjasama rapat dengan Amerika dan Israel, walaupun di media pada ketika itu Amerika mengkritik keras terhadap Iran dan melakukan “serangan” (kecil) terhadap Iran, hakikatnya Amerika dan Israel membuat pakatan dan kerjasama dengan Iran – termasuk Hizbullah – untuk menjatuhkan Iraq.
Amerika dan Israel telah menyediakan bekalan senjata yang mencecah ratusan juta dolar kepada Iran, bahkan Israel telah bersetuju menyediakan juruteknik untuk melatih tentera Iran untuk mengubah suai senjata yang dibuat Amerika yang mereka miliki untuk diselarikan dengan senjata yang dibuat dari Israel!
Bukan sahaja itu, Iran dan Israel sama-sama telah melancarkan serangan terhadap reaktor nuklear milik Iraq (Osirak), pertamanya pada Operasi Scorch Sword oleh Iran pada tahun 1980 dan Operasi Opera oleh Israel pada tahun berikutnya (1981), di mana Iran memberikan kebenaran menggunakan lapangan tanah Iran (Tabriz) untuk jet Israel mendarat di sana.
Peristiwa itu menghancurkan reaktor nuklear milik Iraq dan menyebabkan hanya Iran yang mempunyai reaktor nuklear di perwilayahan itu, yang kemudiannya diwar-warkan pula oleh sesetengah orang sebagai tanda kemegahan “umat Islam” yang “mempunyai teknologi nuklear yang boleh mencabar Israel”.
Tidakkah pelik perkara itu, Israel bersama Iran saling bekerjasama menghancurkan reaktor nuklear Iraq, kemudian mendakwa program nuklear Iran – yang dibiarkan sahaja – akan mengancam keselamatan Israel?
Hubungan inilah yang dikatakan oleh penganilis Iran Trita Parsi sebagai polisi “Menyalak kuat tapi tidak sekali-kali akan menggigit” (bark a lot, but never bite) yang dilakukan oleh Iran dan Israel.
Lihatlah dengan elok situasi ini. Adakah anda rasa terbiasa dengan situasi ini? Barangkali anda teringat satu fenomena yang lebih kurang sama dengannya. Ya, fenomena ISIS.
ISIS walaupun siang malamnya mengecam Israel, menghentam Amerika dan berjanji akan menyerang Israel, hakikatnya ISIS secara rahsia (yang kini tidak lagi menjadi rahsia) menerima bantuan dan bekalan senjata daripada Amerika dan Israel.
Dalam masa yang sama Amerika juga “mengutuk dan menyerang” ISIS, sepertimana Amerika mengutuk dan pernah “menyerang” Iran satu ketika dahulu.
Soalannya, benarkah ISIS menentang dan mengancam Israel? Tentulah tidak. Anda sendiri tahu jawapannya. Kita tahu ISIS tidak mengancam Israel mahupun Basyar Asad. Bahkan ISIS mempunyai hubungan dengan kedua-dua entiti tersebut. Dan saya tidak akan memanjangkan penjelasan bahagian ini.
Semua perang berat sebelah yang berlaku antara “Amerika dan ISIS-Iraq” atau “Perancis dan ISIS-Libya” atau “Israel dan Hezbollah” adalah perang-perang yang telah dirancang oleh mereka sebagai langkah dan peristiwa yang mesti dilalui bagi membolehkan gerak catur selepasnya dijalankan untuk menjayakan secara keseluruhan agenda Timur Tengah Baru (The New Mid East).
Berkenaan perang Israel-Hizbollah di Lubnan pada 2006, Prof Gerald Steinberg mengatakan “antara banyak-banyak peperangan Israel semenjak 1948, inilah peperangan yang paling Israel sedia terhadapnya” di mana kerajaan Israel telah siap 2 tahun sebelumnya tentang penelitian pertempuran tersebut dan pada setahun sebelumnya (2005) pihak tentera Israel telah membentangkan perincian peristiwa tersebut kepada pemikir, diplomat dan tokoh-tokoh Amerika. Setiausaha Negara Amerika ketika itu, Condoleezza Rice maklum dan merestui perang tersebut dan mengatakan ianya sebagai “birth pang” (sakit bersalin) yang mesti dilalui untuk Timur Tengah Baru (New Mid East).
Lihatlah dengan teliti. Kedudukan Iran – mahupun Hezbollah – tidak jauh beza dengan ISIS. Kedudukan mereka direstui dan disengajakan oleh pihak Zionis dan diaturkan seolah-olah mereka menentang Zionis.
Perhatikan kata-kata bekas perdana menteri Israel Yitzhak yang menyebut “Iran is Israel’s best friend and we do not intend to change our position in relation to Tehran, because Khomeini’s regime will not last forever”.
Mereka “tahu” bahawa “regim Khomeini tidak akan kekal”, dan dalam masa mereka meneruskan hubungan rapat itu, walaupun di hadapan media mereka menyalak sesama sendiri bak dua musuh yang tidak mungkin berdamai.
Sama seperi ISIS yang sering “mengancam Israel”, segala ancaman Iran sebenarnya hanyalah retorik kosong, yang tidak pernah diendahkan oleh Israel kerana mereka sendiri menjadi sebahagian daripada projek New Middle East, atau The Greater Israel.
Ini juga noktah penting yang harus kita faham untuk merungkai kerumitan politik timur tengah dan dunia Islam secara umum.
4. Disebabkan itu, dalam perjuangan global kita untuk membebaskan Palestin dan menentang agenda Zionis, dalam rasa marah kita terhadap pengkhianatan raja-raja Arab yang bersekongkol dengan Barat, kita tidak boleh tertipu pula dan berbaik dengan Iran dan Syiah.
Di masa Syiah-Iran menunding jari kepada “gerakan ekstrem takfiri/ISIS”, hakikatnya mereka lebih daripada itu dan merekalah yang ekstrem dan tenggelam dalam kesesatan takfiri, kerana merekalah yang mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Umar, Saidatina Aisyah dan majoriti sahabat RA! Jika sahabat-sahabat yang agung pun mereka kafirkan, bagaimana pula kita pada pandangan mereka? Jika sahabat agung pun mereka kafirkan, adakah kita boleh menganggap mereka sebagai muslim atau sebahagian daripada Islam, sedangkan kita telah jelas mengatakan pemikiran takfiri itu bukan daripada Islam!
Bahkan jumlah kematian yang telah dilakukan oleh Syiah-Basyar, Iran, Hezbollah dan militia Syiah lain, telah melebihi 200,000 orang semenjak kebangkitan rakyat Syria, melebihi keganasan ISIS yang telah membunuh 32,000 bahkan melebihi jumlah pembunuhan yang telah dilakukan oleh Israel sejak 1924 iaitu sebanyak 91,000!
Benar, Yahudi Zionis adalah musuh utama kita yang telah ditentukan oleh Allah dalam kitab-Nya dan melalui janji Nabi-Nya SAW.
Namun dalam menentang Zionis dan membebaskan al-Aqsa, kita tidak sekali-kali boleh berbaik dengan orang yang mengkhianati Islam seperti Syiah-Iran. Umpama PAS yang ingin menumbangkan UMNO, ini tidak bermakna PAS patut bersekongkol dengan DAP yang mempunyai agenda untuk menentang agama Islam dan kaum muslimin.
Tidak ada jalan lain melainkan kita membina kekuatan kita sendiri, sepertimana yang telah dilakukan oleh Sultan Salahuddin al-Ayubi. Tatkala baginda ingin membebaskan al-Aqsa daripada cengkaman tentera salib, baginda memulakannya dengan menyatukan kaum muslimin dan menyerang kerajaan zalim Syiah Fatimiah serta menghalang dan mencantas segala anasir Syiah di dalam negara Islam kerana mahu menghalang pengkhinatan yang sering dilakukan oleh Syiah terhadap kaum muslimin.
Baginda telah menutup al-Azhar yang ketika itu giat menyebarkan ajaran Syiah dan al-Azhar pada ketika itu ditutup selama hampir seratus tahun.
Sultan Salahuddin membersihkan kaum muslimin daripada Syiah kerana menyedari ancaman yang mereka bawa samada dari segi akidah mahupun kestabilan politik.
Hari ini lebih 40 militia Syiah dari banyak negara berada di dalam Syria membunuh anak-anak kecil dan mencabuli wanita dan memijak mayat-mayat kaum muslimin.
Mereka menyiksa para tawanan dan memaksa mereka untuk kufur kepada Allah Taala dan mengaku bahawa Basyar adalah tuhan yang menciptakan dan mendakwa lebih berkuasa pada Allah, adakah ini kita boleh terima sebagai rakan pejuang menentang Zionis dan membebaskan Palestin?
Rujuk dua video ini: (https://www.youtube.com/watch?v=SOZT9uWkwcQ )
(https://www.facebook.com/syria.care/videos/1095113137242190/ )
Mustahil program anti-Zionis, projek pembebasan Palestin, dan kebangkitan Islam global boleh dilakukan dengan kerja bersama Syiah-Iran, sepertimana mustahil untuk menegakkan syariah di Malaysia dengan kerjasama DAP!
Inilah hakikat yang kita perlu hadapi dengan jiwa besar. Kita tidak boleh menipu mengenai hakikat jenayah yang telah mereka lakukan terhadap dunia Islam. Kita tak boleh menutup hakikat bahawa musuh kita ramai dan kita berpecah dan seperti sendirian.
Tetapi itulah hakikat perjuangan Islam. Kita menyedari bahawa sumber kekuatan hanya letak pada diri umat ini sendiri. Jika umat Islam bersatu sebenarnya kita sudah punya kekuatan yang sangat hebat dan tidak perlu menagih simpati daripada musuh-musuh kita sendiri.
Allah Taala berfirman dalam pengharaman mengambil orang kafir sebagai penolong, “Adakah mereka mencari kekuatan daripada orang kafir itu? (Ketahuilah) Bahawa semua kekuatan itu hanyalah milik Allah!” (an-Nisa 139)
Penutup
Saya menginsafi keadaan diri saya yang sangat sama seperti yang disifatkan oleh Tuan Guru sebagai hanya “membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit.”
Barangkali disebabkan itu saya tidak lagi dapat mengusulkan penyelesaian sendiri bagi kemelut politik dunia Islam terutama Timur Tengah. Namun sekurang-kurangnya sejarah dan realiti telah memberitahu kita bahawa Syiah tidak pernah menjadi pilihan bahkan mereka adalah sebahagian daripada masalah yang paling berbahaya yang dihadapi oleh umat Islam.
Saya mengharap keterbukaan rakan-rakan PAS untuk memikirkan semula pendirian terhadap Iran, dengan tambahan Kesatuan Ulama Islam Sedunia juga telah menerangkan pandangan tidak setuju terhadap ziarah tersebut, dan kita pun sendiri tahu kredibiliti anggota Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang terdiri daripada alim-ulama yang besar dan pembaca politik antarabangsa, tentunya mereka tidak hanya berada di depan meja dengan media sosial.
Semoga Allah Taala pelihara kita daripada tipu daya dan kejahatan Syiah.
Dan bagi Allah segala penghujung urusan.
Zaid Zainur Rashid
Ahli Isma Mesir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan