"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sertai program Pakatan Harapan, Mahfuz memang cabar PAS

Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: Pengerusi Siasatan Jawatankuasa Disiplin PAS berkata Datuk Mahfuz Omar mencabar pucuk pimpinan parti apabila masih terus terbabit dalam program anjuran Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Datuk Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok berkata tiada tindakan boleh diambil ke atas Mahfuz kerana sehingga kini belum menerima laporan daripada ahli parti terhadap ahli Parlimen Pokok Sena itu.

“Tindakan Mahfuz memang mencabar PAS. Tapi, untuk mengambil tindakan selanjutnya, ia bergantung pada pertimbangan pimpinan PAS. Kalau ada laporan, kami akan teliti.

“Jawatankuasa Disiplin PAS hanya menunggu laporan, jika ada laporan kami akan bertindak. Tetapi setakat ini masih tidak ada laporan lagi,” katanya kepada FMT.

Mahfuz sebelum ini secara terbuka menghadiri program anjuran Pakatan Harapan termasuk himpunan Bersih 5 dan terbaru hadir ke majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah, Mahfuz yang juga bekas ketua penerangan PAS itu turut mengkritik partinya apabila tidak menghantar wakil pada majlis itu dan menyifatkan PAS seolah-olah enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diingini rakyat.

Sementara itu, Mahfuz ketika dihubungi FMT berkata beliau percaya tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyebabkan dikenakan tindakan dan dilucutkan keahlian.

“Saya tidak fikir pemimpin PAS akan ambil tindakan jika saya tidak buat salah, pemimpin PAS masih lagi rasional.

“Saya tidak lakukan kesalahan. Hanya buat kenyataan sedikit berbeza dengan parti, ia pandangan untuk membawa PAS kepada arus perdana politik yang lebih menyerlah,” katanya.

Malah, ketua whip PAS di Dewan Rakyat itu secara berterus terang berkata masih lagi setia bersama parti Islam berkenaan dan tidak pernah mencabar keputusan pimpinan pusat.

“Saya tidak mencabar pimpinan pusat tetapi hanya nak mengajar melihat realiti politik dan berpijak di bumi nyata,” katanya.

Selepas keluar daripada Pakatan Rakyat, PAS ketika ini membentuk blok ketiga apabila menjalinkan hubungan dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Tiada ulasan: