"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inilah remaja 13 tahun buat laporan polis terhadap Guan Eng?

Faiz Adnan 
GEORGE TOWN: Beliau belajar di sebuah sekolah di Ampang, Selangor dan mendakwa menulis buku pertamanya pada usia 3 tahun dan blog sejak berusia 4 tahun.

Jumaat lalu, remaja terbabit menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia yang beliau ada kuasa untuk memaksa ketua menteri Pulau Pinang menghabiskan masa sejam bagi menjelaskan kepada polis kenapa satu kenyataannya yang dimuat naik ke limguaneng.com tidak berbaur hasutan.

Lim Guan Eng menyifatkan laporan dan siasatan polis terhadapnya “remeh”.

“Terpulang kepada polis sama ada mahu meneruskannya, tetapi siapa yang akan dapat faedahnya?” kata Lim kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada polis, Jumaat lalu.

Bagaimana remaja itu memaksa siasatan berkenaan dimulakan dengan menjadi satu daripada 5 orang di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang membuat laporan polis terhadap Lim untuk sesuatu yang setiausaha agung DAP itu muat naik ke blognya baru-baru ini berhubung undang-undang syariah kontroversi.

Seorang lagi pengadu ialah kakak remaja itu yang berusia 20 tahun, Aeshah Adlina.

Remaja yang mendedahkan butirannya kepada Berita Harian memberitahu: “Ayah saya kata dia mahu membuat laporan polis dan saya tanya jika saya juga boleh membuat laporan. Ayah saya benarkannya.”

Seorang pegawai polis kanan yang ditemu bual FMT berkata, tidak salah untuk kanak-kanak atau remaja membuat laporan polis.

Pegawai polis itu berkata, tiada peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah yang menghalang seorang remaja daripada memfailkan laporan.

“Kemudian, langkah seterusnya adalah menentukan sama ada aduan itu mempunyai asas dan kebenaran. Jika ada, kami akan memulakan siasatan,” katanya kepada FMT.

Seorang peguam jenayah kanan menjelaskan, walaupun kanak-kanak atau remaja boleh membuat laporan polis, mahkamah perlu berpuas hati dengan kecekapan pengadu sebelum beliau boleh memberi keterangan di mahkamah. Itulah syarat di bawah Akta Keterangan 1950.

Peguam itu berkata, kecekapan saksi itu perlu diputuskan mahkamah terlebih dahulu.

Laporan polis yang dibuat remaja itu pada 23 November lalu, ketika beliau masih berusia 13 tahun, berkaitan catatan Lim berhubung rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Remaja itu mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Saya membuat laporan polis itu selepas mendapati catatan blog Lim tidak tepat dan bercanggah dengan undang-undang,” kata remaja terbabit kepada Berita Harian.

Dalam blognya sendiri, remaja berkenaan mendakwa catatan blog Lim adalah “tuduhan dikitar semula”.

“Akta 355 mahupun pindaan akta itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Akta 355, ia bukan tentang pelaksanaan undang-undang seperti hudud yang dituduh ketua menteri Pulau Pinang.

“Hakikat Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf institusi Mahkamah Syariah seperti yang dinyatakan dalam Perkara 121 (1A) dan Bahagian 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, membuktikan Akta 355 tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” tulis remaja itu di blognya.

Remaja itu memberitahu Berita Harian beliau bercita-cita menjadi ahli politik dan berucap di Pusat Dagangan Dunia Putra, Parlimen serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau turut memuat naik laporan polisnya di blognya.
-fmt

Tiada ulasan: