"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Mahfuz Omar minta Nik Amar jangan halau Orang Asli keluar Kelantan

"Bila dah halau saya keluar Pas, jangan halau Orang Asli keluar Kelantan"
HUSEIN MAHAT

Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menegur sikap naib presiden Pas Datuk Nik Amar Abdullah yang disifatkan beliau sebagai 'gedebe' apabila bertindak menghalau beliau daripada Pas hanya semata-mata kerana menegur tindakan pemimpin yang merugikan parti.

"Tidak saya sangka kenyataan saya berkaitan pendirian Pas tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan parti Amanah dan DAP mendapat perhatian Naib Presiden Pas, YB Datuk Nik Amar dengan kenyataan yang amat memalukan Pas.

"Kenyataan Datuk Nik Amar yang menghalau saya keluar dari Pas amat mengejutkan kerana ia memperlihatkan watak 'gedebe' (bengis) beliau.

"Sewajarnya beliau dengan latar belakang seorang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam tidak membawa sifat 'menghalau' hanya kerana ahli Pas seperti saya mengambil tanggung jawab menegur parti dengan pandangan yang berbeza dari pimpinan dan pendirian parti," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, timbalan menteri besar Kelantan itu sepatutnya membawa watak matang, sejahtera, damai dan bukannya menghalau supaya perasaan kekeluargaan sentiasa tersemai dalam Pas.

Beliau mengingatkan pemimpin Pas agar tidak mengulangi peristiwa penyingkiran sekumpulan pemimpin Pas daripada hiraki parti, menghalau mereka supaya meninggalkan Pas dan kemudian menggelarkan 18 individu tersebut sebagai pengkhianat apabila menubuhkan parti baru.

Teguran yang dibuat oleh beliau adalah kerana sayangkan Pas dan negeri Kelantan memandangkan tindak-tanduk pemimpin parti yang merugikan.

"Saya sangat bimbang dengan keengganan Pas bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar (grand coalition) boleh menyebabkan Pas kehilangan Kelantan.

"Begitu juga dengan kedudukan Pas di Selangor setelah Pas membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan kerjasama dengan Amanah dan DAP.

"Kalau Pas boleh kerjasama dengan Semangat 46 yang (pemimpin utamanya) terlibat menjatuhkan kerajaan Pas (di Kelantan) dan Berjasa parti serpihan Pas yang pernah khianati Pas pada 1978 sehingga Pas di Kelantan tinggal 'batu nisan' (dua kerusi), kenapa hari ini Pas tidak boleh bekerjasama dengan Amanah dan parti-parti lain," soal beliau.

Mahfuz menasihati Nik Amar supaya melihat teguran beliau sebagai mewakili suara ahli-ahli biasa parti yang tidak gembira dengan cara politik Pas sekarang.

Menurut beliau, ramai ahli, penyokong dan pengundi Pas tidak senang dengan pendekatan politik Pas yang menjarakkan diri dari arus perdana politik tanah air bagi meranapkan 'kerajaan kleptokrasi' BN pada pilihan raya umum akan datang.

Mahfuz turut mengingatkan pemimpin parti supaya berani mendengar kritikan dan mempersoalkan sama ada budaya menegur sudah mati dalam Pas.

"Adakah ahli yang menegur semua kena keluar Pas kerana menegur parti sendiri secara terbuka? Apakah budaya tegur menegur sudah mati dalam Pas?

"Untuk Datuk Nik Amar dan lain-lain pimpinan, jangan membina persepsi rakyat terhadap Pas andai memerintah negara suatu hari nanti maka Pas tidak boleh ditegur dan dikritik.

"Saya amat gembira jika Datuk Nik Amar dapat urus Kelantan dengan baik dan cemerlang. Uruslah Orang Asli, Pasar Pasir Puteh, banjir lumpur di Temangan, KPK dan lain dengan penuh kesungguhan demi kemakmuran rakyat Kelantan," ujarnya.

Beliau juga berharap Nik Amar tidak menghalau masyarakat Orang Asli keluar daripada Kelantan semata-mata kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan kerajaan negeri.

"Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. Insya Allah saya akan terus bawa suara akar umbi Pas demi cinta serta sayang terhadap Pas," ujar Mahfuz.

Tiada ulasan: