"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS - Mahathir

Tempoh sebulan yang diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada bersama pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah mencukupi, kata pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami telah cuba untuk menyelesaikan (kebuntuan) ini. Kami amat bersabar. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk tentang PAS. Kami telah melakukan segala yang mungkin.

"Apa lagi boleh kita lakukan. Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS," kata Mahathir kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

"Kami akan tetap memberi mereka sebulan, walaupun mereka berkata satu bulan tidak perlu. Kami adalah orang yang sangat bermurah hati."

Mahathir memberikan tempoh kata-dua itu, bermula 11 Februari lalu, walaupun rundingan antara antara BERSATU dan PAS sepatutnya berterusan.

Mesyuarat pertama antara kepimpinan kedua-dua parti diadakan pada 1 Februari lalu.

Berikutan kata-dua itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya tidak akan bekerjasama dengan BERSATU selagi mereka bersama dengan DAP dan parti serpihannya, AMANAH.

Mengulas perkembangan itu, Mahathir berkata beliau menjangkakan PAS akan mencatatkan prestasi lebih buruk pada pilihan raya umum akan datang jika enggan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

Ini kerana, katanya, tidak ada parti, walaupun Umno boleh berdiri bersendirian tanpa kerjasama dengan parti-parti politik lain.

"(Oleh itu), terpulang kepada PAS untuk melihat jika mereka mahu kalah lebih besar atau tidak.

“Di peringkat persekutuan, mereka tidak pernah berjaya memenangi satu perempat kerusi parlimen," kata beliau pada sidang media hari ini di Putrajaya .

Beliau berkata BERSATU tidak mampu tidak bekerjasama dengan DAP memandangkan parti itu kini memegang 36 kerusi di Dewan Rakyat manakala PAS mempunyai kurang daripada dua puluh.

Pada sidang akhbar itu, Dr Mahathir juga memaklumkan bahawa presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk mendapatkan temu janji untuk berbincang dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin, yang hadir pada sidang akhbar itu, berkata BERSATU tidak lagi akan mendesak untuk perjumpaan dengan Hadi.

"Kita telah berjumpa selama beberapa bulan, saya fikir beliau (Hadi) mengetahui tentang itu.

“Tidak ada keperluan untuk memohon lagi (perjumpaan dengan Hadi), terpulang kepada dia jika dia sudah bersedia untuk berjumpa kami," kata Muhyiddin.

Awal hari ini, BERSATU mengeluarkan 128 surat pelantikan kepada ketua bahagian protem yang baru dipilih di Putrajaya hari ini.
Mahathir sendiri dipilih untuk memimpin bahagian Langkawi manakala Muhyiddin adalah ketua bahagian Pagoh.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerajui bahagian Jerlun manakala setiausaha agung parti itu, Datuk Shahruddin Salleh di bahagian Muar.
-malaysiakini

Tiada ulasan: